suria

UMNO Kedah Lakukan Rombakan Kecil Pada Struktur Pentadbiran

ALOR SETAR: Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah membuat rombakan kecil terhadap struktur pentadbirannya yang menyaksikan dua orang timbalan ketua bahagian dilantik masing-masing sebagai setiausaha dan bendahari.

Pada satu mesyuarat malam Sabtu yang berakhir awal pagi Ahad, Timbalan Ketua Umno Bahagian Jerlun Datuk Othman Aziz, yang sebelum ini Setiausaha Kerja Umno Negeri, dilantik sebagai setiausaha perhubungan yang baru menggantikan Datuk Nawawi Ahmad.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Padang Terap Datuk Ghazali Ibrahim pula dilantik sebagai bendahari, menggantikan Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir yang telah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri sejak awal tahun ini.

Jawatan Ketua Penerangan kekal dipegang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata pelantikan dua timbalan ketua bahagian mengisi jawatan setiausaha dan bendahari berbanding tradisi melantik daripada kalangan ketua bahagian sebelum ini adalah kerana beliau mahu ketua bahagian menumpukan kepada bahagian masing-masing bagi menghadapi pilihan raya.

"Saya dah bincang dengan ibu pejabat dan Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak), dan saya ambil pandangan mereka, maka saya buat keputusan ini. Saya nak ketua-ketua bahagian beri 100 peratus perhatian kepada bahagian masing-masing.

"Semua 14 bahagian (ada 15 bahagian di Kedah dengan Ahmad Bashah Ketua Bahagian Alor Setar) akan beri tumpuan kepada jentera masing-masing. Datuk Nawawi sendiri merasakan sukar untuk beliau bergerak dan menumpukan kepada tugas Umno negeri dan bahagian Langkawi. Ini menyebabkan kurang tumpuan kepada Langkawi," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu.

Beliau berkata bagi setiausaha kerja yang baru, pelantikan akan diisi secepat mungkin yang mana jawatan itu akan diisi oleh individu yang bekerja secara sepenuh masa.

Ahmad Bashah berkata Umno negeri juga telah mewujudkan sebuah jawatankuasa pilihan raya yang dipengerusikan beliau sendiri dan ketua-ketua bahagian serta ketua-ketua sayap akan mengetuai jawatankuasa tertentu.

SENARAI PENGERUSI JAWATANKUASA PILIHAN RAYA UMNO KEDAH

IT Norasimah Md Nowar (Ketua Puteri Umno Kedah)

Jalinan Rakyat Datuk Maznah Abdul Hamid (Ketua Wanita Umno Kedah)

Poster/Gerak Kempen Badrolhisham Hashim (Ketua Pemuda Umno Kedah)

Daftar Pemilih Tajuddin Abdullah (Ketua Bahagian Sik)

Pengundi Luar Datuk Ahmad Lebai Sudin (Ketua Bahagian Pokok Sena)

Agensi dan NGO Datuk Seri Mahdzir Khalid (Ketua Bahagian Padang Terap)

Sistem Blog Datuk Nawawi Ahmad (Ketua Bahagian Langkawi)

Kursus dan Latihan Ali Yahaya (Ketua Bahagian Sungai Petani)

Pembangunan Datuk Johari Baharum (Ketua Bahagian Kubang Pasu)

Kebajikan Datuk Abdul Azeez Rahim (Ketua Bahagian Baling)

Keselamatan Datuk Mohd Shuhaimi Abdullah (Ketua Bahagian Jerai)

Polling/Counting Agent Datuk Mohd Rozai Shafian (Ketua Bahagian Pendang)

Pengangkutan Datuk Tajul Urus Mat Zain (Ketua Bahagian Merbok)

Makanan Abd Rahman Mahammud (Ketua Bahagian Padang Serai)

Barong/Pondok Panas Datuk Abu Hasan Sarif (Ketua Bahagian Jerlun)

Isu/Risikan Datuk Latt Shariman Abdullah (Ketua Bahagian Kuala Kedah)

Tugas-tugas Khas Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir (Ketua Bahagian Kulim/Bandar Baharu)

- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain