suria

Ribuan Berpusu Dapatkan MyKad

DATUK Dr S. Subramaniam dan Datuk M. Saravanan menjelaskan sesuatu kepada Alagi A Mayandi, 55 (kiri) yang memohon MyKad untuk ibunya pada kempen MyDaftar di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Maju Junction di Kuala Lumpur, Sabtu. - Foto THE STAR/RAYMOND OOI
DATUK Dr S. Subramaniam dan Datuk M. Saravanan menjelaskan sesuatu kepada Alagi A Mayandi, 55 (kiri) yang memohon MyKad untuk ibunya pada kempen MyDaftar di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Maju Junction di Kuala Lumpur, Sabtu. - Foto THE STAR/RAYMOND OOI
DATUK Dr S. Subramaniam dan Datuk M. Saravanan menjelaskan sesuatu kepada Alagi A Mayandi, 55 (kiri) yang memohon MyKad untuk ibunya pada kempen MyDaftar di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Maju Junction di Kuala Lumpur, Sabtu. - Foto THE STAR/RAYMOND OOI

KUALA LUMPUR: Ribuan rakyat bertumpu ke pejabat-pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di beberapa buah negeri bagi memenuhi impian sepanjang hayat untuk mendapatkan dokumen pengenalan identiti Mykad di bawah kempen MyDaftar.

MyDaftar merupakan usaha JPN untuk mengenal pasti individu yang memiliki sijil kelahiran tetapi tidak pernah memohon untuk mendapatkan MyKad dan golongan yang tidak mempunyai sijil kelahiran justeru sukar mendapatkan dokumen tersebut.

Sebanyak 61 pejabat JPN menubuhkan kaunter khas semalam sempena kempen MyDaftar untuk menangani masalah dokumentasi melibatkan komuniti India, khasnya di mana ramai di antara mereka menghadapi masalah mendapatkan MyKad walaupun dilahirkan di negara ini.

Dianjurkan oleh Jawatankuasa Implementasi Khas Komuniti India dengan kolaborasi Kementerian Dalam Negeri (KDN), kempen itu akan mendaftarkan kaum India yang tidak mempunyai dokumen berkaitan kelahiran, identifikasi dan kerakyatan.

Naib Presiden MIC, Datuk Dr S. Subramaniam yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, ribuan dijangka terbabit dalam kempen seluruh negara yang mensasarkan untuk menyelesaikan isu tertunggak dihadapi kebanyakannya oleh komuniti India.

Kempen itu menumpukan pada sembilan negeri termasuk Selangor, Pulau Pinang, Pahang, Melaka, Kedah dan Negeri Sembilan dan mencapai kemuncaknya pada Sabtu.

Dr Subramaniam berkata, kempen itu juga terbuka kepada individu berusia 55 ke atas yang memiliki kad pengenalan berwarna merah.

"Ini masih masalah yang tersebar luas kerana ramai di antara mereka sudah berada di Malaysia selama berdekad-dekad atau lebih lama dan masih tidak mempunyai kerakyatan. Kami berusaha menangani masalah ini menggunakan pendekatan holistik," tambahnya.

Dr Subramaniam berkata, sebaik pendaftaran selesai, pihaknya akan meneliti setiap permohonan untuk menentukan punca individu terkesan gagal mendapatkan MyKad.

"Kita akan mengenal pasti halangan yang menyukarkan mereka mendapatkan dokumen berkenaan sebelum ini dan akan mengambil langkah untuk menyelesaikannya," kata beliau, sambil menambah tempoh pendaftaran boleh mengambil masa sehingga enam bulan.

Antara ratusan yang berpusu-pusu ke pejabat JPN di Maju Junction adalah R.S. Suren Dren, yang menunggu sejak 7.30 pagi dan berharap agar impian untuk membuktikan kerakyatannya tercapai.

Dia telah melalui pelbagai halangan disebabkan tidak mempunyai sijil kelahiran.

"Saya memerlukan MyKad kerana tanpanya, saya tidak boleh mendapat pendapatan tetap, memiliki rumah malah mengahwini tunang saya," kata pemuda berusia 24 tahun itu.

Ditinggalkan oleh ibunya ketika berusia setahun, Suren Dren berkata, permohonannya untuk mendapatkan sijil kelahiran telah ditolak beberapa kali oleh pelbagai pejabat JPN.

"Kali ini, saya membawa ibu bapa angkat saya untuk membuktikan kerakyatan sebagai warganegara Malaysia. Harapnya, mereka akan memberi saya sijil kelahiran," ujarnya.

Di Ipoh, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Kadir berkata ramai di kalangan rakyat negeri itu tidak memiliki MyKad dan sijil kelahiran.

"Ramai di antaranya menghuni kawasan pedalaman, masih tidak memiliki MyKad kerana tidak mempunyai pengangkutan untuk pergi ke pekan berhampiran bagi memohon atau mendaftarm" katanya selepas melancarkan kempen MyDaftar, Sabtu.

Di Johor, Pengerusi MIC Negeri, Datuk K.S. Balakrishnan berkata sikap endah tak endah merupakan salah satu penyebab mengapa ramai kaum India di negeri itu masih tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap.

Katanya, lebih 5,000 kaum India di Johor tidak mempunyai dokumentasi penting diperlukan, sambil menambah ramai di antara mereka terlalu 'malas' untuk menguruskan masalah itu.

"Sikap ini tidak boleh diterima sama sekali dan kami berusaha sedaya upaya untuk memastikan komuniti itu dididik dengan kepentingan memiliki dokumen tersebut," katanya selepas merasmikan kempen MyDaftar peringkat negeri di Wisma Persekutuan pada Sabtu.

Artikel Berikut

Artikel Lain