suria

KPDNKK Kedah Rampas 70,000 VCD/DVD Cetak Rompak, Tahan Tiga Lelaki

ALOR SETAR: Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah merampas 70,000 keping VCD dan DVD cetak rompak bernilai RM350,000 dalam operasi di dua rumah di Taman Setia Berjaya di sini.

Dalam operasi kira-kira 11 pagi Ahad yang membabitkan 14 penguat kuasa dipimpin Ketua Unit Operasi KPDNKK Kedah Mohd Amir Abdullah, tiga lelaki berusia lingkungan 20-an ditahan di sebuah daripada rumah berkenaan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK negeri Suhaimi Mat Sari berkata serbuan di dua rumah yang terletak berhampiran itu dibuat berdasarkan aduan awam dan risikan pihaknya selama sebulan.

Beliau berkata sebanyak 30,000 DVD/VCD dirampas dari rumah pertama, manakala di rumah kedua pihaknya merampas 40,000 keping, selain 10 unit "burner" dan dua mesin pencetak yang bernilai RM20,000.

"Rumah pertama adalah tempat pembungkusan dibuat. Rumah kedua adalah tempat memproses VCD/CD cetak rompak itu, dan turut digunakan untuk pembungkusan.

"Kita tangkap tiga orang di rumah kedua, dengan seorang daripadanya baru seminggu berkahwin. Ketika serbuan dibuat, ketiga-tiga mereka sedang tidur," katanya.

Mohd Amir berkata kedua-dua premis adalah daripada sindiket yang sama dan telah beroperasi sejak tiga bulan lepas.

"Pasaran sindiket ini adalah di seluruh Kedah terutama peniaga pasar malam," katanya.

Beliau berkata sindiket itu mampu mengeluarkan 5,000 hingga 8,000 VCD/DVD sehari kerana seunit "burner" mampu menghasilkan 110 keping dalam tempoh 15 minit.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(d) Akta Hak Cipta 1987 yang membawa hukuman denda minimum RM2,000 dan maksimum RM20,000 bagi setiap salinan, atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain