suria

Kerajaan Yakin Capai Pertumbuhan KDNK 6.0 Peratus Tahun Ini

GEORGE TOWN: Program Transformasi Ekonomi (ETP) akan memainkan peranan penting bagi Malaysia bagi mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 6.0 peratus pada tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Katanya penggunaan dan pelaburan domestik oleh kedua-dua sektor awam dan swasta akan memacu pertumbuhan itu.

"Jika kita lihat pada 2011, kita melihat petunjuk utama yang menunjukkan ekonomi akan berkembang kukuh bagi tempoh dua suku tahun tetapi kita tidak mempunyai petunjuk utama bagi separuh kedua tahun ini.

"Saya percaya bilangan besar projek ETP akan dapat memacu negara ke hadapan dan mencapai sasaran 6.0 peratus bagi 2011," katanya kepada pemberita selepas menemui para pemimpin Barisan Nasional (BN) Bahagian Tasek Gelugor, Ahad.

Nor Mohamed berkata kebanyakan projek ETP akan dimulakan menjelang Julai, yang mewujudkan banyak aktiviti ekonomi pada separuh kedua tahun ini.

"Walau pun tidak terdapat petunjuk utama bagi separuh kedua, kita berkeyakinan kerana kita tahu banyak projek ETP dan 12 Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) akan dilaksanakan menjelang Jun.

"Antara Jun dan Disember, banyak aktiviti ekonomi dilaksanakan di seluruh negara dan dengan pelaksanaan itu, kita sepatutnya mencatatkan pertumbuhan 6.0 peratus," katanya.

Nor Mohamed berkata Malaysia berupaya mencapai status negara maju dan menjadi ekonomi berpendapatan tinggi pada 2020 kerana negara ini adalah negara perdagangan utama.

"Untuk menjadi negara maju, kita perlu mencapai pendapatan per kapita US$15,000 dan pertumbuhan KDNK tahunan 6.0 peratus. Seiringan dengan, kita juga perlu mendapatkan pelaburan bernilai US$115 bilion setahun sehingga 2020.

"Dengan pelaksanaan kesemua rancangan itu, kita berkeyakinan mencapainya (status negara maju)," kata Nor Mohamed, yang juga Menteri yang bertanggung jawab dengan Unit Perancangan Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri.

Adalah dilaporkan pada Jumaat bahawa ekonomi Malaysia telah mencatatkan prestasi melangkaui jangkaan dengan catatan pertumbuhan cemerlang 7.2 peratus pada tahun lepas berbanding dengan pengucupan 1.7 peratus pada 2009,berikutan kenaikan dari lantunan semula di dalam sektor pengeluaran dan perkhidmatan serta kerancakan eksport.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain