suria

Kerajaan Siasat Sebuah Syarikat Tawar Khidmat Tanpa Melalui Tabung Haji

YAN: Kerajaan akan menyiasat sebuah syarikat yang dikatakan menawarkan perkhidmatan haji di negara ini tanpa melalui Tabung Haji, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Katanya ini kerana di Malaysia, hanya Tabung Haji yang diberi kuota haji oleh kerajaan Arab Saudi dan bukan terus kepada syarikat-syarikat yang beroperasi di negara ini.

"Syarikat yang menjadi ejen perkhidmatan itu perlu mendapatkan kebenaran dan kuota daripada Tabung Haji sebelum menjual perkhidmatan itu kepada orang ramai dan ia di bawah seliaan Tabung Haji. "Ia bukan soal nak halang dan untuk monopoli perkhidmatan haji ini tetapi kita kena berhati-hati dengan pakej yang ditawarkan oleh pihak berkenaan dan bimbang akan membawa padah kepada rakyat kita akibat tidak mempunyai kebenaran visa di Mekah nanti.

"Kerajaan Arab Saudi memandang serius mengenai kuota haji dan umrah yang diberikan kepada setiap negara. Saya bimbang jika ada rakyat negara ini terperangkap di sana nanti ekoran tidak memiliki visa yang sah akan menimbulkan masalah besar kepada negara," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Sungai Kering dekat sini, Ahad.

Difahamkan syarikat berkenaan yang berpangkalan di China dan tidak berdaftar di bawah Tabung Haji menawarkan perkhidmatan haji dan umrah dengan cepat dan bayaran yang dikenakan RM15,000 bagi seorang jemaah haji.

Mereka yang berminat dikatakan boleh membuat tempahan melalui laman web yang disediakan dengan mudah dan pantas.

Jamil Khir meminta rakyat negara ini yang berdaftar dengan Tabung Haji supaya bersabar menunggu giliran dan jangan mudah terpedaya dengan perkhidmatan yang membolehkan mereka dapat menunaikan ibadat haji di Tanah Suci dengan cepat.

"Saya berharap orang ramai berhati-hati dengan tawaran seperti ini dan jangan sampai duit simpanan hilang dan haji tak dapat disebabkan tindakan terburu-buru mereka," kata Jamil Khir. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain