suria

Kerajaan Pahang Sedia Tanggung Kos Pelajar Pulang Ke Mesir

TEMERLOH: Kerajaan negeri Pahang akan menanggung sepenuhnya kos tiket kapal terbang 400 pelajar negeri itu yang bakal pulang menyambung pengajian di Mesir selepas krisis politik negara berkenaan kembali pulih.

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata selain itu, kerajaan negeri akan memberi sumbangan wang tunai RM500 kepada setiap pelajar terbabit.

"Berdasarkan rekod, terdapat 200 pelajar tajaan Yayasan Pahang dan 200 lagi belajar dengan kos sendiri," katanya kepada pemberita.

Beliau sebelum itu mengadakan pertemuan dengan jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kerdau, di sini Ahad.

Adnan berkata sumbangan berkenaan adalah sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap semua pelajar terbabit.

"Pemberian wang tunai dan pembayaran tiket kapal terbang itu tiada kena mengena dengan pilihan raya kecil DUN Kerdau. Kita sejak dari dulu sentiasa memberi bantuan sewajarnya kepada semua pelajar Pahang," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri Pahang juga telah menempatkan seorang pegawai khas Yayasan Pahang bagi menjaga kebajikan pelajar Pahang di Mesir.

"Pegawai terbabit memberi laporan setiap hari dan situasi di negara berkenaan, apabila krisis politik kembali pulih, para pelajar baru dibenarkan pulang," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain