suria

Kementerian Pelajaran Diminta Sambung Kontrak 578 Guru Sandaran Di Sabah

PENAMPANG: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan meminta Kementerian Pelajaran menyambung kontrak 578 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di Sabah, yang tamat kontrak akhir tahun lepas.

Beliau berkata kementerian juga perlu memberi peluang kepada mereka mengikuti latihan perguruan untuk kekal dalam perkhidmatan tersebut.

Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata langkah itu penting kerana Sabah masih kekurangan guru, terutama di kawasan terpencil di luar bandar.

Katanya, selain itu, cadangan Kementerian Pelajaran menghantar guru dari Semenanjung bagi membantu menyelesaikan masalah kekurangan guru mahir di Sabah perlu diperhalusi kerana terdapat guru sandaran yang layak serta memiliki ijazah sarjana muda.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan kempen kesihatan dan derma darah anjuran PBS Bahagian Kepayan hari ini ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi semalam bahawa kerajaan akan terus menghantar guru ke Sabah dan Sarawak sehingga masalah kekurangan guru mahir di dua negeri berkenaan dapat diatasi.

Mohd Fuad juga dipetik sebagai berkata, pada masa ini, kuota pengambilan guru di kalangan anak negeri Sabah dan Sarawak belum dipenuhi.

Pada 20 Jan lepas, Pengerusi Jawatankuasa GSTT Sabah Norman Lantayan dipetik sebagai berkata, Mohd Puad pernah memberi jaminan kementerian tidak menghentikan perkhidmatan guru sandaran, namun sehingga kini, mereka belum menerima surat tawaran sambungan kontrak perkhidmatan sehingga menyebabkan ada sekolah kekurangan guru sehingga 19 orang.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain