suria

India Sedia Tawarkan Lebih Banyak Projek Kepada Malaysia, Kata Samy Vellu

KUALA LUMPUR: Setelah mengumumkan potensi pelaksanaan projek prasarana bernilai hampir AS$1 trilion (RM3 trilion) untuk tempoh tujuh tahun akan datang, India mengharapkan Malaysia akan mengambil bahagian secara agresif dalam beberapa projek mega di sana.

Duta Khas Infrastruktur ke India dan Asia Selatan Datuk Seri S. Samy Vellu memberitahu bahawa beliau telah mengadakan satu siri rundingan dengan para pemimpin India dari peringkat persekutuan dan negeri sejak dua bulan lepas.

"Kita telah menunjukkan minat dalam beberapa projek jalan dan lebuh raya secara usaha sama dengan firma India," kata Samy Vellu, yang telah memainkan peranan penting dalam pemeteraian kontrak prasarana bernilai lebih AS$20 bilion (RM60 bilion) antara firma Malaysia dan India ketika beliau menyandang jawatan Menteri Kerja Raya.

Samy Vellu, yang dilantik ke jawatan bertaraf menteri itu pada 1 Januari tahun ini, yakin lebih banyak syarikat Malaysia akan mendapat projek lumayan di India melalui usaha sama dengan syarikat negara itu.

Khamis lepas, Samy Vellu mengadakan perjumpaan dengan Menteri Pengangkutan Jalan Raya dan Lebuh Raya India Dr C.P. Joshi di New Delhi dan berbincang tentang beberapa projek prasarana yang berpotensi dengan ketua menteri Gujarat dan Andhra Pradesh.

Samy Vellu berkata beliau juga mengadakan perbincangan dengan Menteri Perniagaan dan Perdagangan India Anand Sharma yang berkunjung ke negara ini Jumaat lepas tentang masalah yang dihadapi syarikat Malaysia dalam membida projek di negara itu.

Antara projek yang dibida syarikat Malaysia ialah pembinaan lebuh raya antara Ichapuram dan Anandapuram di Andhra Pradesh dan Udaipur serta Ahmedabad di Gujarat.

Projek yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit itu akan dilaksanakan secara usaha sama dengan firm India dan rundingan mengenainya sedang diadakan, kata Samy Vellu.

Malah, sebelum menyandang jawatan baru itu, Samy Vellu telah merintis jalan bagi pemeteraian memorandum persefahaman antara syarikat Hopetech Sdn Bhd dari Malaysia dan Punj Llyod dari India untuk melaksanakan sistem kutipan tol berpusat pada tahun lepas.

Samy Vellu berkata beliau juga mencadangkan kepada kerajaan negeri Gujarat dan Andhra Pradesh supaya membina lebih banyak rumah pangsa untuk menggantikan kawasan kediaman yang kotor dan sesak di negeri itu.

Katanya sebuah syarikat Malaysia telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan dua negeri berkenaan dan membida projek tersebut melalui syarikat usaha sama.

Samy Vellu berkata Malaysia juga mengesyorkan kepada kerajaan Gujarat supaya menubuhkan sebuah pusat latihan kemahiran untuk belia. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain