suria

PRK Kerdau: BN Pahang Kemuka Empat Nama

KUANTAN: Barisan Nasional (BN) Pahang telah mencadangkan empat nama kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dipilih sebagai calon dalam pilihan raya kecil bagi Dewan Undangan Negeri Pahang kawasan Kerdau.

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob yang juga Pengerusi BN Pahang, berkata kesemua mereka merupakan bakal calon yang boleh menang, bertepatan dengan kehendak Perdana Menteri sebelum ini.

"Memandangkan kerusi ini selama ini ditandingi Umno, keempat-empat nama itu adalah daripada Umno," katanya selepas menghadiri majlis makan malam anjura sebuah syarikat di sini malam Khamis.

Ditanya sama ada faktor kesihatan diambil kira dalam pemilihan itu, Adnan berkata : "Kalau sihat tetapi orang tidak suka, kita tidak akan pilih, kita pilih calon yang disukai orang."

Kerusi Kerdau kosong selepas penyandangnya, Datuk Zaharuddin Abu Kasim, 63, daripada BN, meninggal dunia akibat serangan jantung di kediamannya pada 12 Februari lepas.

Pada pilihan raya umum 2008, Zaharuddin menewaskan calon PAS Hassanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi. Beliau memperoleh 4,135 undi manakala Hassanuddin mendapat 2,520 undi.

Adnan berkata BN akan menggunakan pendekatan yang disukai orang ramai bagi meraih sokongan pada pilihan raya kecil itu nanti.

"Penduduk Kerdau ini terdiri daripada orang yang matang dan tidak mudah diracuni fikiran," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain