suria

Polis Tahan Pengedar Dadah Di Sekatan Jalan Raya Di Kampar

KAMPAR: Polis menahan seorang pengedar dadah dan menemui beberapa jenis dadah daripadanya pada satu sekatan jalan raya di Km 16.5 Jalan Ipoh-Kampar di sini dua hari lalu.

Dadah yang ditemui di dalam kereta milik lelaki berusia 35 tahun ini pada 1.50 pagi ialah 65 paket heroin seberat 83.5 gram, syabu dan ganja masing-masing seberat 0.4 gram dan 1.60 gram.

"Lelaki tersebut yang ketika itu memandu kereta jenis Proton Wira dikatakan berkelakuan mencurigakan sebelum anggota polis yang bertugas bertindak menahannya untuk melakukan pemeriksaan lanjut terhadap kenderaannya.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui beberapa bungkusan plastik mengandungi dadah yang sudah siap dipaket dianggarkan bernilai lebih RM7,000," kata Ketua Polis Daerah Kampar, Supritendan Abdul Aziz Salleh, Jumaat.

Beliau berkata lelaki yang berasal dari Buntong, Ipoh itu turut mengambil dadah.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum gantung sampai mati.

Abdul Aziz berkata dalam kes lain, dua lelaki yang masing-masing berusia 35 dan 40 tahun turut ditahan dalam sekatan jalan raya berhampiran Masjid An-Nur di Jalan Kampar pada 10 Februari lalu.

Lelaki berusia 40 tahun itu yang dipercayai bekerja sebagai penyelia pam minyak di Rawang, Selangor didapati memiliki ganja seberat 6.2 g sementara yang berumur 35 tahun, seorang penjawat awam memiliki syabu dan eramin-5 masing-masing seberat 4.85 g dan 1.4 g. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain