suria

Pekerja Syarikat Perkapalan Hilang Apabila Kabin Jatuh Ke Laut

PELABUHAN KLANG: Seorang pekerja syarikat perkapalan di Pelabuhan Barat, Pulau Indah di sini yang disyaki terperangkap di dalam kabin yang terjatuh ke dalam laut semalam, masih tidak dapat dikesan setelah kabin itu ditemui pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Mohamad Mat Yusof berkata Md Rahim Jaib, 58, tidak dapat dikesan apabila kabin itu berjaya dinaikkan ke darat hari ini.

Ketika kejadian pukul 1 petang semalam, Md Rahim dilaporkan berada di dalam kabin itu untuk berehat dan angin kencang telah meniup kabin itu hingga jatuh ke dasar laut.

"Kita hanya mendapati kabin tersebut dalam keadaan remuk dan pecah di beberapa bahagian dipercayai akibat impak yang kuat ketika terjatuh ke dalam laut," katanya.

Mohamad berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa masih diteruskan oleh anggota Pasukan Gerakan Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Unit Marin Westport.

Namun sehingga lewat petang tadi mangsa masih belum ditemui, katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain