suria

MyDaftar: Beri Keutamaan Kepada Warga Emas

KUALA LUMPUR: MIC berharap kerajaan dapat meluluskan permohonan MyKad oleh masyarakat India, terutama golongan warga emas yang tidak mempunyai dokumen lengkap dalam kempen MyDaftar yang diadakan di seluruh negara mulai hari ini, kata Timbalan Presiden parti itu Datuk Dr S. Subramaniam.

Katanya keutamaan perlu diberikan kepada golongan warga emas yang lahir di Malaysia sebelum tarikh kemerdekaan 31 Ogos 1957.

"Golongan ini gagal dalam permohonan untuk memperoleh MyKad sebelum ini kerana mereka tidak mempunyai dokumen lengkap seperti ketiadaan surat beranak dan dokumen-dokumen lain yang diperlukan oleh Jabatan Pendaftaran Negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen MyDaftar di pejabat JP Ncawangan Kuala Lumpur di Maju Junction di sini, Sabtu.

Kempen itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Khas Kabinet Masyarakat India, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan. Subramaniam selepas melancarkan kempen itu turut meluangkan masa bertemu dengan pemohon MyKad dan menerangkan mengenai kempen itu serta bertanya masalah yang dihadapi mereka.

Kempen itu terbuka kepada masyarakat India di seluruh negara yang lahir di Malaysia dan menetap di Malaysia yang masih belum memperoleh MyKad. Pada Disember lepas, akhbar melaporkan kira-kira 33,000 masyarakat India di Malaysia tidak mempunyai MyKad.

Subramaniam berkata sehingga tengah hari ini, seramai 2,800 orang mengemukakan permohonan mereka di cawangan JPN di seluruh negara.

Beliau berkata proses kelulusan permohonan MyKad itu akan mengambil masa kira-kira enam bulan selepas tarikh akhir tempoh kempen itu pada 26 Feb, dan pihaknya akan mengambil tindakan susulan sekiranya proses itu mengambil masa lebih lama.

MIC akan memantau dari semasa ke semasa memastikan semua orang India di Malaysia memperoleh MyKad, katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain