suria

Masyarakat Cina Kembali Sokong BN Kerana 1Malaysia

ALOR SETAR: Barisan Nasional (BN) Kedah yakin kaum Cina sudah kembali menyokong BN berikutan penerimaan yang baik terhadap konsep 1Malaysia yang dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengerusinya Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata penerimaan kaum Cina kepada BN di Kedah ketika ini cukup baik berbanding sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum 2008.

Katanya masyarakat Cina telah melihat BN membuat perubahan dan konsep 1Malaysia adalah salah satu daripadanya, yang kini diterima dengan baik sekali.

"Konsep ini berjaya dengan hebatnya. Ia melibatkan orang-orang lama dan anak-anak muda. Ini menjadi kayu pengukur kepada kejayaan konsep 1Malaysia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persembahan "1Malaysia Cultural Dancing" sempena Sambutan Tahun Baru Cina di Menara Alor Setar, Jumaat.

Program tahunan itu adalah anjuran Persatuan Tari Menari Ballroom Kedah dengan kerjasama Menara Alor Setar, yang diadakan bagi memeriahkan lagi sambutan Tahun Baru Cina.

Sementara itu, Ahmad Bashah berkata tindakan bekas Duta Amerika Syarikat ke Malaysia John R. Malott mengkritik Malaysia menunjukkan bekas duta itu ada niat yang tidak baik dan mempunyai kepentingan sendiri.

Katanya perpaduan yang ada di negara ini jika dilihat daripada keseluruhan begitu baik dan tidak terdapat di negara-negara lain termasuk di Amerika sendiri.

"Apabila diperkenalkan konsep 1Malaysia perpaduan sebenarnya semakin baik. Kalau dia tak tau jangan cakap. Dia sebenarnya berpihak kepada orang lain," katanya.

Malott menerusi artikel bertajuk "The Price of Malaysia's Racism" dalam The Asia Wall Street Journal baru-baru ini mengkritik gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri.

Malott antara lain berkata ketegangan kaum dan agama lebih tinggi pada masa kini berbanding sebelum Najib mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 2009.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain