suria

Calon BN PRK Kerdau Dan Merlimau Diumumkan Minggu Depan

JASIN: Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Melaka dan dan DUN Kerdau di Pahang akan diumumkan minggu depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata calon bagi DUN Kerdau akan diumumkan pada Selasa ini manakala calon DUN Merlimau pada keesokannya.

"Saya dah hampir-hampir buat keputusan daripada senarai tujuh nama yang diserahkan kepada saya," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan bersama jentera pilihan raya DUN itu di Politeknik Merlimau, di sini, Sabtu.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil DU NMerlimau dan DUN Kerdau diadakan serentak pada 6 Mac ini manakala tarikh penamaan calon bagi kedua-dua DUN itu ditetapkan pada 26 Feb ini.

Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata BN tidak akan menghadapi masalah bagi menyusun jentera dalam menghadapi kedua-dua pilihan raya kecil itu yang akan berlangsung serentak.

"Bukan sahaja dua (Kerdau dan Merlimau) malah kita boleh bertindak banyak kawasan serentak. Kita pernah hadapi pilihan raya kecil di Sabah (Parlimen Batu Sapi) dan Kelantan (DUN Galas) serentak pada tahun lalu," katanya.

Najib berkata motivasi pemimpin BN mengadakan kempen di Merlimau juga tinggi tambahan dengan Mohd Ali membuat segala perancangan bagi mengerakkan jentera pilihan raya.

Najib berkata beliau berpesan kepada jentera parti supaya bekerja penuh semangat secara berterusan.

"Pilihan raya kecil ini, kita tak tahu apa yang diandaikan tetapi kalau kita ambil tindakan berdasarkan perancangan yang disusun atur, saya percaya apa yang kita hasratkan akan menjadi kenyataan," katanya.

Kerusi DUN Kerdau kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 63, dari BN pada 12 Feb lepas.

Pada pilihan raya umum 2008, Zaharuddin menewaskan calon PAS Hassanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi.

Sementara itu, kerusi DUN Merlimau kosong selepas penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, dari BN, meninggal dunia pada 20 Jan lepas.

Pada pilihan raya umum 2008, beliau menang dengan majoriti 2,154 undi menewaskan calon PAS Jasme Tompang.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain