suria

Tiga Lagi Laporan Polis Dibuat Mengenai Risalah My Balik Pulau

KEPALA BATAS: Dua lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO)dan seorang individu hari ini membuat laporan polis berhubung pengedaran risalah My Balik Pulau di beberapa buah kawasan di negeri ini.

Pertubuhan Pribumi Malaysia (Perkasa) Pulau Pinang, Gerakan Belia 4B Pulau Pinang dan individu yang dikenali sebagai Firus Che Man, 37, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini pukul 10.30 pagi tadi.

Setakat ini lebih lima laporan polis telah dibuat oleh NGO dan orang perseorangan mengenai penerbitan risalah yang didakwa berunsur perkauman serta memberikan fakta yang salah mengenai kependudukan kaum Melayu di kawasan Balik Pulau.

Firus bersama Naib Yang DiPertua Perkasa negeri Shaik Harun Rashid dan Anggota Jawatankuasa Gerakan Belia 4B, Anuar Omar kemudiannya memberitahu pemberita tujuan mereka membuat laporan itu adalah untuk meminta polis membuat siasatan mengenai kegiatan pengedaran dan penerbitan risalah berkenaan yang berbaur perkauman itu.

Risalah My Balik Pulau itu diedarkan secara percuma sejak sebulan lalu dan ia didedahkan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhammad Farid Saad.

Ketua Menteri Lim Guan Eng pula dilaporkan menafikan kerajaan negeri mempunyai kaitan dengan penerbitan dan pengedaran risalah berkenaan. -BERNAMA

Artikel Lain