suria

Rel Kelajuan Tinggi KL-Singapura Masih Di Peringkat Kajian - SPAD

KUALA LUMPUR: Kerajaan hanya akan memulakan kajian prakebolehlaksanaan bagi hubungan Rel Kelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura tidak lama lagi, demikian menurut Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada Jumaat.

Ia berkata satu artikel yang dikeluarkan oleh Nanyang Siang Pau pada Rabu mengenai cadangan projek itu adalah tidak tepat, katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kajian berkenaan akan dikendalikan secara bersama oleh SPAD dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), akan menentukan daya maju hubungan rel sedemikian, kata SPAD.

Ia berkata kajian itu akan siap pada Jun. "Oleh itu, adalah tidak dapat ditentukan lagi sebarang pemeteraian kontrak untuk melaksanakan projek berkenaan akan berlangsung dalam masa terdekat," katanya.

Hubungan rel berkenaan, yang dicadangkan di bawah Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dalam Program Transformasi Ekonomi, telah dikenal pasti sebagai pemangkin berpotensi untuk meningkatkan perjalanan antara kedua-dua bandar raya di Asia Tenggara. -BERNAMA

Artikel Lain