suria

JLKN Nafi Dakwaan Kes Pelatih PLKN Mati Dan Koma Kerana Tidak Diberi Rawatan Awal

SEREMBAN: Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa pengurusan kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) gagal memberikan rawatan awal dalam kes dua pelatih PLKN yang meninggal dunia manakala seorang lagi sedang koma.

Ketua Pengarah JLKN Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata tuduhan bahawa pengurusan kem yang bertanggungjawab gagal menghantar pelatih berkenaan ke hospital dengan kadar segera adalah tidak berasas.

Berikutan keseriusan dakwaan itu, satu Pasukan Siasatan Dalam telah ditubuhkan bagi menyiasat perkara itu, katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) di Kem Seri Perkasa, Khamis.

Laporan ringkas mengenai kes pelatih PLKN di Negeri Sembilan, H. Tamilaras yang sedang koma di Hospital Tuanku Jaa'far di sini dan kes dua pelatih yang meninggal dunia itu turut diedarkan kepada media.

Abdul Hadi berkata Tamilaras sebenarnya sedang bercuti sempena Tahun Baru Cina mulai 1 hingga 6 Februari dan apabila kem dibuka semula pada 7 Februari, pelatih itu gagal melaporkan diri.

Pihak kem dimaklumkan oleh keluarga pelatih itu bahawa Tamilaras diberi cuti sakit sehingga 13 Februari oleh klinik swasta tetapi pihak pengurusan kem telah menasihatkan keluarga pelatih itu supaya membawa pelatih itu ke hospital kerajaan untuk membolehkan tuntutan insurans yang disediakan JLKN dibuat, katanya.

"Pada 10 Februari, pihak kem sekali lagi menghubungi ayah pelatih untuk mendapatkan maklumat lanjut dan diberitahu bahawa anaknya telah dimasukkan ke wad kecemasan, Hospital Tuanku Ja'afar pada 8 Februari," katanya.

Katanya, sebelum bercuti untuk Tahun Baru Cina, pelatih itu telah empat kali mendapatkan rawatan di kem akibat demam, sakit kepala dan sakit tekak.

Abdul Hadi berkata dalam kes kematian Mohamad Zulhaili Noraihan, pelatih PLKN di Kem Wawasan Wawasan Papar, Sabah, pada 15 Februari di Hospital Queen Elizabeth, kematiannya disahkan oleh pihak hospital akibat jangkitan virus pada otak.

Katanya, sebelum melaporkan diri untuk PLKN, Allahyarham telah membuat pemeriksaan kesihatan di Kuala Lumpur dan beliau diisytiharkan layak untuk menyertai porgram itu.

"Allahyarham mula mendapatkan rawatan di kem buat pertama kalinya pada 24 Januari kerana sakit kepala dan berikutnya pada 10 Februari sejak beliau mendaftarkan diri pada 2 Januari lepas," katanya.

Selepas sakitnya tidak berkurangan, Mohamad Zulhaili dirujuk ke pihak hospital tetapi dibenarkan pulang ke kem dengan dibekalkan dengan ubat-ubat dan pelatih itu dihantar kembali ke hospital pada 12 Februari sebelum dilaporkan meninggal dunia beberapa hari kemudian, katanya.

Sepanjang menjalani latihan PLKN, Allahyarham tidak sempat membuat latihan elemen air, merempuh halangan dan menembak, katanya.

Abdul Hadi berkata dalam kes kematian seorang lagi pelatih PLKN, Fatini Aqilah Fadhil yang meninggal dunia pada 13 Februari di Hospital Tunku Permaisuri Bainun di Ipoh, Perak, kematiannya disahkan akibat leukemia.

Katanya, borang pengakuan kesihatan Allahyarham tidak menunjukkan sebarang masalah kesihatan dan pelatih itu juga belum menjalani latihan lasak di kem di mana beliau ditempatkan.

Allahyarham sebelum ini pernah mendapat tiga rawatan di kem akibat demam pada 18, 24 dan 31 Januari sebelum ditimpa demam panas yang agak teruk sebaik sahaja menghabiskan cuti Tahun Baru Cina pada 7 Februari lepas, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain