suria

Suruhanjaya Siasat Kematian Teoh Lawat Lokasi Kejadian

SHAH ALAM: Anggota Suruhanjaya Penyiasat ke atas kematian Teoh Beng Hock pagi ini melawat tempat kejadian di Plaza Masalam di sini.

Pengerusinya Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan empat anggota lain tiba di bangunan itu pada 9.50 pagi.

Ini merupakan lawatan pertama anggota suruhanjaya itu ke lokasi kejadian sejak ia memulakan prosidingnya Isnin lalu.

Anggota lain suruhanjaya itu ialah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T. Selventhiranathan serta Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik dan Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas antara lainnya bagi menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat "keputusan terbuka" berhubung kes itu.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada anggota exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia cawangan Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain