suria

Suruhanjaya Arah Dr Pornthip, Dr Peter Dipanggil Semula

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya bagi menyiasat kematian pembantu politik, Teoh Beng Hock pada Khamis, memerintahkan supaya dua pakar forensik dari Thailand dan Britain dipanggil semula untuk memberi keterangan walaupun nama mereka tidak terdapat pada senarai saksi.

Dua pakar itu ialah ‘Dr Kematian’ iait, Dr Pornthip Rojasunan dan juga Dr Peter Vanezis yang pernah terlibat dalam siasatan kematian Puteri Diana.

Kedua-dua pakar tersebut pernah dipanggil untuk memberi keterangan dalam prosiding inkues siasatan kematian Teoh di Mahkamah Koroner di Shah Alam, dekat sini.

Pornthip dibawa masuk oleh Kerajaan Negeri Selangor manakala Peter dilantik oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk bertindak sebagai pemerhati dalam bedah siasat kali kedua.

Semasa memberi keterangan di prosiding inkues, Pornthip dan Peter juga melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan mereka kerana mendakwa menerima ugutan.

Pada prosiding Khamis, Pengerusi suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen berkata, pihaknya sebulat suara untuk memanggil Pornthip dan Peter kerana mendapati ia adalah satu keperluan untuk mereka membantu suruhanjaya.

“Pihak suruhanjaya dengan ini memerintahkan pegawai pengendali suruhanjaya untuk mengambil langkah-langkah yang diperlukan,” kata James.

Sementara itu, prosiding sama menyaksikan empat saksi, termasuk seorang pegawal keselamatan, Siti Zabedah Yahaya yang merupakan individu pertama yang melihat satu lembaga terbaring di luar koridor tingkat lima plaza tersebut.

Justeru itu, saksi berkata, dia menjatuhkan tiga skru meja ke arah lembaga tersebut dengan tujuan mahu menyedarkannya.

Saksi seterusnya, Mohd Ridzuan Samsuri, 29, memberitahu bahawa dia telah ke koridor itu sebaik sahaja diberitahu oleh Siti Zabedah.

“Saya melihat memang ada satu lembaga dalam keadaan mencurigakan dengan keadaan kaki terkulai. Bila aya hampiri, saya lihat mukanya berlumuran dengan darah yang telah kering. Dia tidak bergerak, mungkin telah mati. Saya panik,” kata pekerja penyelenggara plaza itu.

Sementara itu, seorang lagi saksi, Mohd Khairul Izwan Mohd Nasir, 41, pula memberitahu, dia menghubungi pihak polis selepas melihat seorang lelaki yang disyaki membunuh diri berada dalam keadaan mengiring sebelah kanan.

Penolong kanan di sebuah syarikat keselamatan itu juga berkata, koridor tingkat lima itu tidak boleh dimasuki oleh sesiapa, termasuk pekerja kontraktor yang perlu mengikut pengawal keselamatan jika mahu ke koridor itu.

Selain itu, suruhanjaya juga dimaklumkan bahawa tiada kamera litar lintas tertutup (CCTV) terletak di koridor tersebut.

Walaupun jam telah menunjukkan pukul 4.30 petang, prosiding suruhanjaya diteruskan dnegan memanggil Inspektor Mohd Zulaimi Md Zuber, 33, yang merupakan pegawai polis pertama yang tiba di tempat kejadian ekoran saksi akan bertolak ke Mekah pada Jumaat.

Mohd Zulaimi yang bertugas di Ibu Pejabat Polis (IPD) Shah Alam berkata, beberapa pegawai SPRM telah mengesahkan bahawa si mati adalah saksi mereka.

“Saya juga telah diarahkan untuk memeriksa satu kad pengenalan di bawah nama Teoh Beng Hock dalam rekod polis dan didapati tiada rekod jenayah,” katanya.

Mohd Zulaimi juga menambah, beliau diarahkan oleh pegawai atasannya untuk melihat rakaman CCTV plaza itu.

Selepas Zulaimi memberi keterangan, James memutuskan supaya soal balas terhadap saksi dijalankan selepas saksi kembali dari Mekah pada 3 Mac depan.

Teoh, 30, ditemui mati pada 16 Julai 2009 dan kematiannya menimbulkan persoalan kerana beberapa jam sebelum itu dia disoal sebagai saksi oleh SPRM.

Prosiding suruhanjaya akan bersambung pada Jumaat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain