suria

Polis Tahan lelaki Rakyat Singapura, Rampas Dadah Bernilai RM60,000

JOHOR BARU: Polis menahan seorang lelaki rakyat Singapura dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM60,000 dalam serbuan di sebuah rumah yang dijadikan makmal memproses dadah di Taman Sentosa, di sini, tiga hari lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Baru Selatan, Supritendan Abdul Samad Salleh berkata, lelaki berumur 41 tahun itu ditahan kira-kira 6.50 petang dan dipercayai terlibat dengan kegiatan memproses dan mengedar dadah di sekitar bandar raya ini sejak enam bulan lepas.

"Kesemua dadah yang dirampas membabitkan 1.8 kilogram ketamin, 71 biji pil ecstasy dan lima biji pil Eramin 5. Pemeriksaan mendapati salah sebuah bilik di dalam rumah tersebut dijadikan makmal kecil memproses dadah," katanya kepada pemberita, di sini, Rabu.

Polis turut merampas pelbagai peralatan memproses dadah dan menyita dua kereta mewah milik lelaki berkenaan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pengedaran dadah, katanya.

Beliau berkata lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah dan dia kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan mengedar dadah.

Dalam pada itu, Abdul Samad berkata polis turut menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah dalam serbuan di sebuah rumah di kawasan perumahan yang sama, pada 7 malam, hari yang sama.

Beliau berkata polis menemui 60 gram syabu, empat biji pil ecstasy dan 1.1 gram ketamin yang kesemuanya bernilai RM20,000 di dalam rumah lelaki berumur 34 tahun itu.

"Suspek disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di bandar raya ini sejak setahun lepas dan dia turut akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain