suria

Peniaga Mi Kerugian Lebih RM100,000 Akibat Rumah Terbakar

GEORGE TOWN: Seorang peniaga mi kerugian lebih RM100,000 apabila separuh daripada rumah teres setingkat miliknya di Ladang Hong Seng, Mount Eskrine, di sini, musnah dalam satu kebakaran tengah hari Khamis.

Lim Keh Chee, 56, berkata, pada kejadian pukul 12 tengah hari itu, beliau yang berseorangan dalam rumah itu sedang membuat persiapan untuk keluar berniaga.

"Tiba-tiba saya terdengar jiran menjerit api dan saya ternampak api atas bumbung rumah saya sudah merebak ke rumah jiran," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, akibat kebakaran itu, rumahnya dan rumah jiran terbakar kira-kira 50 peratus dan beliau tidak sempat untuk mengeluarkan barangan dalam rumahnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal, Roslan Hasnan berkata, kebakaran itu dipercayai berpunca dari api kayu gaharu yang masih bernyala di tempat sembahyang rumah Lim.

"Tindakan pantas anggota bomba berjaya mengawal api dari kedua-dua buah rumah terbabit daripada merebak ke rumah teres berhampiran," katanya.

Sebanyak 32 anggota dengan dua jentera bomba dan penyelamat dari Bagan Jermal termasuk pasukan bomba sukarelawan dari Pulau Tikus dan Sri Tanjung bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pukul 12.01 tengah hari dan api dapat dikawal dalam tempoh 10 minit.

Tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain