suria

Lelaki Warga Iran Ditahan Bersama Syabu Bernilai RM875,000

BUTTERWORTH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang menahan seorang lelaki Iran dan merampas 3.4 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM875,000 di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di sini, kira-kira pukul 3.15 petang Rabu.

Timbalan Pengarah Kastam Bahagian Penguatkuasaan negeri, R. Mariappa berkata lelaki berusia 26 tahun itu ditahan selepas pegawai Unit Khas Pemeriksaan Penumpang (UKPP) yang menjalankan pemeriksaan mendapati terdapat imej meragukan dalam imbasan bagasinya.

"Hasil pemeriksaan lanjut, pihak UKPP menemui lima bungkusan kertas karbon berwarna biru disaluti plastik lutsinar mengandungi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu dalam satu ruang khas dalam bagasi lelaki berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Katanya lelaki yang baru pertama kali masuk ke Malaysia itu menaiki penerbangan dari Dubai ke Singapura sebelum tiba di Pulau Pinang.

"Lelaki itu direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati mandatori," katanya.

Mariappa berkata, kastam sedang menyiasat kemungkinan lelaki berkenaan mempunyai kaitan dengan seorang wanita Uganda yang ditahan di lapangan terbang itu atas kesalahan yang sama Jumaat lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain