suria

KPDNKK Rampas Bahan Cetak Rompak Bernilai RM7.7 Juta Tahun Lepas

KUALA LUMPUR: Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah melaksanakan 70 tindakan penguatkuasaan yang menghasilkan rampasan bernilai RM7.7 juta pada tahun lepas.

Ketua pengarahnya Mohd Roslan Mahayudin berkata tindakan itu menghasilkan rampasan 465 unit komputer dan peralatan komputer bernilai RM1.4 juta dan 1,618 perisian yang disyaki dicetak rompak bernilai RM6.3 juta.

Katanya tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan sempena kempen membanters kegiatan cetak rompak dikenali sebagai Gerak Gempur Cetak Rompak (GGCR), yang dilancarkan menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Mei 2010.

"Daripada 70 tindakan penguatkuasaan yang dijalankan, Selangor mencatat jumlah tertinggi dengan 38 tindakan melibatkan rampasan bernilai RM4.5 juta, diikuti Kuala Lumpur dengan 15 tindakan melibatkan nilai rampasan RM1.6 juta, Johor dengan tujuh tindakan melibatkan nilai rampasan RM696,150 dan Melaka dengan lima tindakan melibatkan nilai rampasan RM838,100.

"Pulau Pinang, Perak dan Sarawak masing-masing mencatat dua tindakan dengan rampasan benilai RM143,000, RM36,000 dan RM78,000," katanya.

Roslan berkata tindakan itu diambil mengikut Akta Hak Cipta 1987, yang melarang penggunaan perisian cetak rompak dalam urusan perniagaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain