suria

Jabatan Imigresen Laksana Program Transformasi Untuk Tingkat Kecekapan

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen akan melaksanakan program transformasi bertujuan meningkatkan kecekapan, memerangi gejala rasuah dan meningkatkan integriti bagi memastikan jabatan itu dihormati dan relevan mengikut tuntutan semasa.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, program transformasi yang akan diketuai oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Alias Ahmad akan memberi fokus kepada tiga bidang iaitu memperkukuhkan keupayaan institusi, meningkatkan kualiti perkhidmatan dan memartabatkan profesion imigresen.

Antara inisiatif yang digerakkan adalah memperkenalkan perkhidmatan Imigresen dalam talian (online) untuk mempermudahkan rakyat berurusan dan mengurangkan kesesakan di pejabat Imigresen, katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pasca Kabinet peringkat kementerian di sini hari ini.

Beliau berkata selain itu, jabatan akan mewujudkan unit dan sekretariat khas untuk mempercepatkan proses membuat keputusan dalam permohonan visa, pas dan permit untuk semua kategori.

Katanya, jabatan itu juga akan memperkenalkan kaedah Queue Buster di pintu keluar-masuk negara, perkhidmatan kaunter sebumbung dan perkhidmatan imigresen hujung minggu.

Hishammuddin berkata, langkah itu sebagai usaha untuk mengurangkan kerenah birokrasi sama ada daripada segi pengeluaran pasport atau MyKad yang akan dapat membantu memerangi rasuah.

Katanya, satu sesi khas akan diadakan selepas sidang akhbar itu untuk mengadakan perbincangan dengan kepimpinan Imigresen bagi meneliti strategi pelaksanaan setiap syor, pendekatan dan inisiatif yang dilaksanakan.

Antara agenda penting yang perlu diberi perhatian serius ialah menangani persoalan imej khususnya rasuah yang dikaitkan dengan institusi dan kakitangan jabatan Imigresen, katanya.

Beliau berkata, program transformasi itu akan memberi fokus terhadap usaha memerangi gejala rasuah secara serius sebagaimana tangkapan yang dibuat terhadap beberapa kakitangan jabatan itu dan sindiket yang dikenal pasti terlibat dalam gejala yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

Ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam semalam bahawa terdapat kira-kira 4,000 masyarakat India tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, Hishammuddin berkata beliau tidak fikir jumlahnya adalah seramai itu.

Hishammuddin yang memuji dan menyambut baik langkah MIC untuk membantu kementerian bagi mendaftarkan mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, berharap MIC mengemukakan permohonan berkenaan kepada kementerian bagi memastikan ia diproses.

"Sebenarnya, perkara ini telah dibawa ke (mesyuarat) Jemaah Menteri pagi tadi, dan saya telah menyatakan bahawa KPI (Petunjuk Prestasi Utama) kita untuk menyelesaikan permohonan tertunggak telah diselesaikan dua bulan lebih awal tahun lepas.

"Jadi, sekarang ini penting untuk kita turun (padang) untuk melihat mereka yang mungkin tidak tahu untuk memohon, segan atau berada di kawasan pedalaman, tidak kira kaum dan tempat," katanya.

Kempen MyDaftar peringkat kebangsaan selama lapan hari mulai Sabtu ini dianjurkan Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India dan turut dibantu MIC, bagi membantu masyarakat India tempatan yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri untuk membuat permohonan bagi mendapatkan dokumen penting itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain