suria

Bekas Pemandu Bas Dipenjara, Denda Sebabkan Kematian Wanita Beranak Dua

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pemandu bas hari ini dipenjara 30 bulan dan didenda RM10,000 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Trafik kerana memandu dengan cuai sehingga mengakibatkan kematian seorang wanita beranak dua pada Januari 2009.

Majistret Parvin Hameedah Natchiar berkata jika K. Vijendran, 51, gagal membayar denda RM10,000, tertuduh akan dipenjara 10 bulan lagi.

Beliau turut memerintahkan lesen memandu Vijendran digantung selama tiga tahun.

Parvin Hameedah membuat keputusan itu setelah mendapati peguam bela tertuduh, Kemala Alang gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes itu.

Parvin Hameedah, yang membenarkan penangguhan hukuman penjara itu berikutan hasrat tertuduh mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi, bagaimanapun mengarahkan tertuduh menambah wang jaminan daripada RM4,000 sebelum ini, kepada RM7,000 dengan seorang penjamin.

Vijendran, yang mempunyai tiga orang anak, didakwa memandu dalam keadaan berbahaya dan melulu sehingga menyebabkan kematian Rohani Maidin, 53, di Jalan Raja Laut pada pukul 6.30 petang, 17 Januari 2009.

Ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala setelah bergesel dan dilanggar tayar belakang bas yang dipandu tertuduh.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1977 yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda RM20,000 selain hilang kelayakan mendapatkan lesen memandu sehingga tiga tahun dan lesen percubaan dibatalkan.

Pendakwaan yang dilakukan oleh pegawai pendakwa Cif Inspektor Abdullah Said memohon agar tertuduh dikenakan hukuman sewajarnya atas alasan kejadian ini melibatkan kehilangan nyawa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain