suria

Remaja Cedera Ditembak Semasa Serang Anggota UPP

TUMPAT: Seorang remaja cedera parah setelah ditembak ketika beliau bersama sekumpulan lelaki menyerang empat anggota Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) di perkarangan Hospital Tumpat, di sini, Rabu.

Remaja berumur 19 tahun itu parah akibat terkena dua tembakan di bahagian rusuk kanannya dalam kejadian pada kira-kira pukul 9.20 pagi, selepas ditembak semasa menyerang anggota UPP kerana menyangka saudaranya, Said Mat Hassan, 56, maut akibat dikasari anggota UPP berkenaan, kira-kira satu setengah jam sebelumnya.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 pagi, Said ditemui anggota UPP dalam sebuah kereta Kancil di tepi jalan di Kampung Wakaf Tin di sini dalam keadaan lemah, berwajah pucat serta mulutnya berbuih.

"Melihat keadaan Said yang tenat, anggota UPP membawanya ke Hospital Tumpat untuk mendapat rawatan. Said disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital itu," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, Said ditemui oleh empat anggota UPP berpakaian preman yang sedang menjalankan rondaan di kawasan itu, dan anggota UPP itu turut menemui 20 guni beras siam dalam kereta berkenaan.

Abdul Rahim berkata selepas menghantar Said ke hospital, ke empat-empat anggota UPP itu pergi minum di sebuah kedai makan berdekatan hospital berkenaan, dan tiba-tiba lima kenderaan dinaiki sekumpulan lelaki berhenti di hadapan mereka.

"Beberapa lelaki bersenjatakan cota terus meluru dan menyerang keempat-empat anggota UPP. Akibat serangan bertubi-tubi, salah seorang anggota UPP melepaskan satu das tembakan amaran ke udara," katanya.

Beliau berkata tembakan itu tidak diendahkan kumpulan tersebut, dan anggota UPP itu terpaksa melepaskan lagi tembakan bagi melindungi diri, yang mengenai remaja berkenaan.

Katanya, remaja itu kemudian dibawa ke Hospital Tumpat untuk mendapatkan rawatan, bagaimanapun dia terpaksa dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Baru kerana keadaannya yang parah.

Beliau berkata keempat-empat anggota UPP yang cedera dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Tumpat.

Abdul Rahim berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan daripada kedua-dua pihak bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh, dan siasatan juga akan dilakukan mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Ibu remaja yang ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Baru di sini berkata, beliau terkejut apabila melihat anaknya rebah berlumuran darah akibat ditembak di depan matanya.

Katanya, ketika itu dia ke Hospital Tumpat untuk menziarahi jenazah Said. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain