suria

Tun Mahathir Harap Kerajaan Keluarkan Permit Kerja Kepada Rakyat Palestin

SHAH ALAM: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyarankan kerajaan mempertimbangkan untuk mengeluarkan permit kerja kepada rakyat Palestin di Malaysia untuk menyara keluarga mereka.

Beliau berkata kerajaan hendaklah mempertimbangkan untuk mengeluarkan permit kerja kepada mereka kerana sesetengahnya datang ke sini bersama keluarga dan anak-anaknya yang tidak dapat bersekolah.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) di sini hari ini, katanya wakil Palestin di sini telah menemui beliau dan merayu agar kerajaan akan mempertimbangkan perkara ini.

Ditanya sama ada pengeluaran permit kerja berkaitan keengganan Malaysia merektifikasikan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Pelarian, beliau berkata:

"Masalah itu dengan Konvensyen PBB kita terpaksa pastikan pelarian itu adalah pelarian.

"Kadang-kadang ada orang lain cuba gunakan hak-hak khas yang diberikan kepada pelarian untuk mendapat perlindungan sebagai penduduk di sesebuah negara seperti Malaysia."

Menyentuh tentang perjuangan rakyat Palestin mendirikan sebuah negara merdeka, Dr Mahathir berkata: "Kita hendaklah membantu mereka membentuk satu pandangan umum untuk memberi tekanan kepada kerajaan (negara-negara pro Israel), kita tidak boleh memaksa kerajaan untuk membuat keputusan tetapi pandangan awam akan membantu kita untuk mencapai objektif kita."

Beliau berkata Muslim di Amerika Syarikat berpecah dan tidak bekerjasama sementara orang Yahudi bersatu dan mereka mempunyai strategi bagi kepentingan Israel.

Sebab itu mereka (Yahudi) boleh mempengaruhi dalam pemilihan Presiden Amerika Syarikat, tegas beliau. Terdahuhu dalam ucapan, Dr Mahathir berkata penubuhan PCOM adalah penting untuk memulihara budaya Palestin yang membezakan mereka dari dunia Arab lain.

Walaupun perbezaan budaya, rakyat Palestin adalah orang Islam dan saudara orang Islam lain di dunia, kata beliau.

Bagaimanapun, katanya rejim Israel telah menakluki hampir semua kawasan Palestin kecuali Gaza dan jika mereka mampu menguasai wilayah ini dan budaya Palestin mungkin akan lenyap.

Sehubungan itu, adalah menjadi tugas rakyat Malaysia untuk membantu rakyat Palestin. -BERNAMA

Artikel Lain