suria

Tuanku Mizan Seru Rakyat Kikis Curiga

Penerima Anugerah Maulidur Rasul 2011 bergambar kenangan bersama pembesar negara. Foto THE STAR/ UU BAN
Penerima Anugerah Maulidur Rasul 2011 bergambar kenangan bersama pembesar negara. Foto THE STAR/ UU BAN
Penerima Anugerah Maulidur Rasul 2011 bergambar kenangan bersama pembesar negara. Foto THE STAR/ UU BAN

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah rakyat Malaysia harus mengikis sikap curiga-mencurigai antara satu sama lain dan sentimen perkauman yang sempit mesti dibanteras dari awal sebelum ia menjadi barah dalam masyarakat bagi memupuk perpaduan dalam masyarakat.

Baginda menyeru supaya semua rakyat membina negara dengan nilai kasih sayang dan persefahaman dan tidak meruntuhkan perpaduan dan keharmonian yang dibina dalam mencari keuntungan yang sementara.

"Tema sambutan tahun ini iaitu 1Malaysia 1 Ummah mampu menjadi satu jambatan dalam memupuk perpaduan sama ada di kalangan umat Islam mahupun sesama masyarakat amnya," titah baginda pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini pada Selasa.

Turut berangkat hadir ialah Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Majlis sambutan yang disambut dengan penuh rasa keinsafan itu turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan isteri Puan Seri Noorainee Abdul Rahman.

Baginda juga meyeru seluruh umat Islam untuk terus berusaha mempertingkatkan pencapaian yang dimiliki bagi memastikan umat dan negara terus cemerlang.

Tuanku Mizan bertitah, setiap individu Muslim harus memahami dan menjiwai semangat sambutan hari yang paling menggembirakan, iaitu hari keputeraan Nabi Muhammad s.a.w yang menjadi tanda permulaan era baru dalam kehidupan manusia dan menjadi titik perubahan besar dalam sejarah dunia.

"Nabi Muhammad s.a.w telah membawa panduan kehidupan yang baik untuk diikuti. Dalam kepimpinan keluarga, Baginda merupakan contoh teladan yang terbaik. Baginda mampu memperlihatkan akhlak yang sangat terpuji hatta sebelum diangkat menjadi Rasul," titah Tuanku Mizan.

Pada majlis itu, baginda juga memperkenan untuk menyampaikan Anugerah Maulidur Rasul kepada tujun penerima.

Penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2011 ialah bekas Profesor Madya Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr Abdul Hayei Abdul Sukor yang juga merupakan Ahli Majlis Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Beliau menerima wang tunai RM50,000, trofi, sijil penyertaan dan senaskah kitab tafsir al-Quran yang bernilai RM3,000.

Enam penerima lain Anugerah Maulidur Rasul 2011 pula ialah bekas Timbalan Ketua Pengarah (Jabatan Pendidikan Islam dan Moral) Kementerian Pelajaran, Datuk Dangiran Mustapha, Bekas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Engku Tan Seri Ibrahim Engku Ngah dan Professor di Kuliyyah Senibina dan Rekabentuk Alam Sekitar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Ismawi Zen.

Turut menerima anugerah ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Jantung Negara, Tan Sri Dr Robaayah Zambahari; bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Tan Sri Hasmah Abdullah dan pelajar Tingkatan 4, Sekolah Menengah Kebangsaan Bachok, Kelantan Darul Naim, Wee Soo Yen yang mendapat 8A dalam Peperiksaan Menengah Rendah tahun 2010 termasuk subjek Bahasa Arab. Semua penerima anugerah membawa pulang wang tunai RM20,000, trofi, sijil penyertaan dan senaskah kitab tafsir Al-Quran bernilai RM3,000.

Sambutan tahun ini dimulakan dengan perarakan sambil berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w seawal pukul 7.30 pagi melibatkan 10,135 peserta terdiri daripada 114 kontinjen yang terdiri daripada kontinjen jabatan kerajaan, badan berkanun, swasta, badan bukan kerajaan dan sekolah.

Perarakan sejauh 2.4 kilometer bermula daripada Dataran Putra hingga ke Qiblat Walk, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Majlis diteruskan di dewan solat utama masjid dengan bacaan ayat suci Al-Quran, ceramah agama oleh Mufti Kedah, Datuk Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad, deklamasi sajak, nasyid dan persembahan khas daripada peserta program realiti ‘Adik-Adikku’ musim pertama dan kedua.

Artikel Lain