suria

Tiga Lelaki Ditahan, Sepucuk Pistol Dirampas Dalam Serbuan Di Hotel

KAJANG: Polis merampas sepucuk pistol bersama kelopak peluru kosong, dan menahan tiga lelaki dalam serbuan berkaitan dadah di sebuah bilik hotel di Kajang, awal Selasa.

Pistol jenis Browning itu ditemui selepas polis menggeledah bilik hotel yang didiami tiga lelaki terbabit.

Dalam serbuan pada pukul 1 pagi hasil maklumat orang ramai itu, polis turut merampas lima telefon bimbit dan menemui peralatan menghisap dadah, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Supritendan Azman Ayob.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati ketiga-tiga lelaki yang berusia antara 40 dan 50 tahun, yang disyaki pengedar dadah itu mendaftar masuk di hotel berkenaan empat hari lepas.

Dua daripada mereka berasal dari Selangor manakala seorang lagi dari Terengganu, katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini, Selasa.

Beliau berkata hasil siasatan juga mendapati seorang daripada mereka positif dadah jenis syabu manakala seorang lagi mempunyai tujuh rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah.

Sementara itu, polis menahan empat lelaki berumur antara 30 dan 40 tahun dalam dua serbuan iaitu di sebuah rumah dan sebuah kereta di sekitar Cheras Perdana, Batu 9, Isnin.

Azman berkata dalam serbuan pertama pada pukul 5.30 petang, polis menahan dua lelaki dan merampas 500 gram dadah jenis ketamin.

"Dua jam selepas itu, hasil maklumat suspek pertama, polis menahan dua lagi lelaki dalam sebuah kereta dan merampas 50 gram dadah jenis ketamin," katanya.

Beliau berkata hasil ujian air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis ketamin dan polis percayai dadah yang dirampas itu adalah untuk diedar sekitar Kajang. - BERNAMA

Artikel Lain