suria

Kikis Sikap Curiga Antara Satu Sama Lain Pupuk Perpaduan, Titah Agong

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah setiap rakyat Malaysia haruslah mengikis sikap curiga mencurigai antara satu sama lain dalam usaha untuk memupuk perpaduan sama ada di kalangan umat Islam mahupun sesama masyarakat.

Baginda bertitah sentimen perkauman yang sempit mestilah dibanteras daripada awal sebelum ia membarah dalam masyarakat.

"Bersamalah kita membina negara yang tercinta ini dengan nilai kasih sayang dan persefahaman. Perpaduan dan keharmonian yang telah kita bina janganlah kita runtuhkan hanya kerana mencari keuntungan yang sementara," titah baginda pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan bertemakan 1Malaysia 1Ummah di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, Selasa.

Turut berangkat pada majlis itu Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Baginda juga melahirkan rasa gembira kerana sambutan Maulidur Rasul memberi makna tersendiri kepada seluruh umat Islam dan bersama membuktikan kecintaan kepada Nabi Muhammad S.A.W dan seterusnya menghayati sejarah dan perjuangan Rasulullah bagi menegakkan Islam yang tercinta.

Baginda bertitah nilai-nilai murni yang dibawa Nabi Muhammad S.A.W telah membawa panduan kehidupan yang baik untuk diikuti serta mampu menyatukan seluruh umat manusia sekiranya semua pihak ikhlas berbuat demikian.

"Contohnya dalam kepimpinan keluarga, baginda merupakan contoh teladan yang terbaik. Baginda mampu memperlihatkan akhlak yang sangat terpuji sebelum diangkat menjadi Rasul.

"Akhlak baginda bukan sahaja cemerlang dalam hubungan dengan Allah S.W.T tetapi juga amat indah dalam hubungan sesama manusia," titah baginda.

Tuanku Mizan bertitah jasa dan sumbangan Rasulullah sewajarnya dihargai seluruh umat Islam dengan mengamalkan ajaran Islam dengan bersungguh-sungguh.

Hanya dengan menghayati dan mengamalkan ajaran Islam yang sebenar akan menghasilkan natijah yang terbaik sama ada di dunia mahupun akhirat, titah Seri Paduka.

Sempena sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini Tuanku Mizan menyeru seluruh umat Islam agar terus berusaha mempertingkatkan pencapaian yang dimiliki sekarang supaya umat dan negara terus cemerlang.

Titah baginda sebagai seorang Muslim yang cintakan Rasulullah S.A.W, seharusnya hari ini iaitu 12 Rabiulawal yang merupakan hari keputeraan Nabi Muhammad S.A.W, harus menjadi hari yang paling menggembirkan umat Islam.

"Oleh yang demikian wajarlah setiap individu memahami dan menjiwai semangat sambutan ini dengan bersungguh-sungguh," titah baginda.

Terdahulu sebanyak 114 kontinjen dengan 10,315 peserta terdiri daripada kontinjen kerajaan, badan berkanun, swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan sekolah menyertai perhimpunan sambutan Maulidur Rasul.

Mereka berarak sejauh 2.4km sambil berselawat dari Dataran Putra sehingga ke Qiblat Walk di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin. - BERNAMA

Artikel Lain