suria

Hukuman Mati Terhadap Subkontraktor Kekal

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap seorang subkontraktor kerana kesalahan mengedar 4,645 gram kanabis 11 tahun lepas.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff yang bersidang bersama Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Md Raus Sharif dan Datuk Abdull Hamid Embong sebulat suara menolak rayuan Rosli Shaik Yahaya.

Rosli, 46, didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Taiping pada 21 November 2007 kerana melakukan kesalahan itu di hadapan stesen kereta api di Jalan Stesyen, Taiping, Perak pada 7.05 pagi, 5 Februari 2000.

Dia memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan selepas gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan tahun lepas untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Panel tiga hakim itu juga memutuskan tidak ada keperluan bagi hakim perbicaraan untuk memberi alasan apabila memerintahkan tertuduh memberi pembelaan di akhir kes pendakwaan.

Panel itu bersetuju dengan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Bache iaitu tidak ada keperluan oleh hakim Mahkamah Tinggi untuk berbuat demikian (untuk memberi alasan) di bawah Seksyen 180 Kanun Prosedur Jenayah.

Terdahulu Rosli yang diwakili peguam Sukhaimi Mashud memohon mahkamah membebaskan anak guamnya atas alasan hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zakaria Sam telah terkhilaf apabila tidak memberikan alasan ketika memerintahkan Rosli membuat pembelaan terhadap tuduhan itu.

Sukhaimi berkata hakim perbicaraan dikehendaki memberikan alasan bagi membolehkan tertuduh mengemukakan pembelaan. -BERNAMA

Artikel Lain