suria

Dua Lelaki Ditahan Bantu Siasatan Kes Bunuh Peniaga

IPOH: Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh seorang peniaga barangan lusuh dalam kejadian samun di Jalan Barrack, Taiping Isnin lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Shukri Dahalan berkata seorang daripada lelaki itu cedera di kedua-dua kakinya selepas terkena tembakan yang terpaksa dilepaskan polis apabila mereka bertindak agresif dan cuba menyerang anggota polis.

"Kedua-dua lelaki berusia 30-an yang menaiki sebuah kereta itu ditahan polis peronda di Jalan Jelapang pada pukul 4 petang ini," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Shukri berkata lelaki yang cedera itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan.

Beliau berkata kedua-dua lelaki itu disyaki terlibat dalam kejadian samun dan bunuh dengan melepaskan dua das tembakan ke atas K.Pitchai. Mereka melarikan wang tunai RM8,000 daripada mangsa dan mencederakan dua lagi rakan mangsa yang turut berada di tempat kejadian.

Siasatan awal polis mendapati kedua-dua lelaki itu mengunakan butiran peribadi palsu dan kereta jenis Kia Carren yang digunakan juga adalah kereta curi yang dilapor hilang di Tambun tahun lepas. -BERNAMA

Artikel Lain