Dua Beradik Maut Setelah Diberi Racun Oleh Ibu - Semasa | mStar

Dua Beradik Maut Setelah Diberi Racun Oleh Ibu

KAJANG: Sepasang adik beradik perempuan ditemui mati di rumah mereka di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, dekat sini, malam Isnin, selepas dipercayai dipaksa minum racun oleh ibu kandung mereka yang mengalami sakit mental.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Supritendan Azman Ayob, berkata ibu mereka, yang turut meminum racun itu, kini dilaporkan dalam keadaan kritikal dan dirawat di Hospital Serdang.

"Dua adik beradik malang itu, S.Rashmeka, 4, dan adiknya, S.Neeharika Laxami, setahun, serta ibu mereka berusia 30 tahun ditemui di dalam bilik rumah mereka kira-kira pukul 8.30 malam oleh nenek dua beradik itu.

"Nenek mangsa yang curiga selepas mendapati pintu bilik tersebut berkunci dari dalam, terus menghubungi bapa mangsa yang sedang bekerja di sebuah kedai gunting rambut," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Azman berkata apabila bapa kanak-kanak itu, yang berusia 33 tahun, memecah pintu bilik tersebut, dia mendapati kedua-dua anak dan isterinya terbaring bergelimpangan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Beliau terus membawa mereka ke klinik berhampiran, dan doktor mengesahkan kedua-dua adik beradik tersebut meninggal dunia, kata Azman.

"Hasil siasatan, kita mendapati ibu kedua kanak-kanak itu pernah menerima rawatan psikatri dan pernah cuba membunuh diri pada 2006," katanya, sambil menjelaskan polis menolak kejadian itu ada unsur jenayah dari pihak luar.

Sementara itu, seorang lelaki tempatan ditemui mati dipercayai membunuh diri di dalam sebuah bilik hotel New City di sini, awal pagi Selasa.

Azman berkata Chong Yew Heung, 35, ditemui mati oleh seorang pekerja hotel tersebut kira-kira pukul 1.45 pagi selepas terbau asap dari dalam bilik itu dan setelah mengetuk tanpa jawapan, ia terus memecah pintu tersebut.

Pekerja hotel itu mendapati lelaki yang berasal dari Johor itu berada dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri, katanya.

Azman berkata polis percaya Chong membunuh diri dengan membakar arang di dalam bilik hotel itu, serta menutup semua lubang di dalam bilik tersebut dengan pita pelekat yang menyebabkan ia lemas.

Beliau berkata mayat lelaki kemudiannya dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain