suria

Umat Islam Perlu Kukuhkan Perpaduan, Pelihara Keharmonian

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru seluruh umat Islam di Malaysia supaya sentiasa memperkukuh perpaduan dan memelihara keharmonian sesama warganegara dan sesama umat Islam.

Beliau berkata umat Islam juga perlu menerima hakikat mengenai kemajmukan kaum dan agama dalam negara sebagai satu rahmat kurniaan Allah s.w.t yang tidak ternilai.

Dalam perutusan Maulidur Rasul 1432H, Muhyiddin berkata sempena sambutan tahun ini seluruh umat Islam perlu mengingati tujuan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w sebagai pembawa rahmat ke seluruh alam.

Beliau berkata tema sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini iaitu 1Malaysia 1Ummah adalah bertepatan dengan makna kerahmatan yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.

"1Malaysia yang melambangkan keharmonian dan perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan agama dalam sebuah negara majmuk adalah rahmat yang paling berharga buat seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Muhyiddin berkata hal ini mengingatkan umat Islam betapa Rasulullah s.a.w juga berjaya membina Madinah sebagai sebuah kota bertamadun yang aman dan damai dengan didiami oleh masyarakat pelbagai keturunan dan agama.

"Walaupun berlainan keturunan dan agama, mereka diikat dengan tali persaudaraan sebagai warga kota Madinah. Dalam konteks sebuah negara moden seperti Malaysia, sewajarnyalah umat Islam dan bukan Islam yang menjadi warganya diiktiraf sebagai saudara sewarganegara," katanya.

Beliau berkata 1Ummah pula melambangkan kesatuan akidah sesama umat Islam, dan sesungguhnya menerima cahaya keimanan adalah rahmat yang paling istimewa buat seorang mukmin.

"Dengan menerima cahaya keimanan, para mukminin bukan sahaja beroleh hidayah daripada Allah s.w.t, tetapi dengan sendirinya menjalin hubungan silaturahim esama umat Islam.

"Dalam hubungan ini, umat Islam tanpa mengira perbezaan kaum, bangsa dan arna kulit adalah saudara seakidah," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain