suria

Perbelanjaan Pulang Semula Ke Mesir Adalah Tanggungan Sendiri - A. Kohilan

KUALA LUMPUR: Perbelanjaan pelajar yang ingin kembali ke Mesir bagi meneruskan pengajian mereka adalah di atas tangunggan sendiri, kata Timbalan Menteri Luar Senator A. Kohilan Pillay, Isnin.

"...ini memang secara tradisi dipraktikkan di negara kita," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis angkat sumpah anggota Dewan Negara, di Parlimen di sini.

Bagaimanapun, Kohilan menasihatkan ibu bapa agar hanya menghantar kembali anak mereka ke Mesir selepas mendapat arahan daripada Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah walaupun keadaan di sana dilapor semakin baik.

"Tetapi kita belum nampak pulih sepenuhnya...setelah pulih sepenuhnya baru nasihat akan diberikan dan selepas itu pelajar-pelajar boleh pergi ke Mesir untuk melanjutkan pelajaran," katanya.

Kohilan turut meminta pelajar dan rakyat Malaysia yang masih berada di Mesir terus berhati-hati.

"Masih ada lebih kurang 2,000 pelajar dan rakyat Malaysia yang enggan balik ketika 'Ops Piramid' dijalankan kerana risau tentang pelajaran mereka...mereka boleh terus berada di situ tetapi yang penting menjaga keselamatan diri mereka," katanya.

Katanya kumpulan terakhir rakyat Malaysia yang dibawa pulang menerusi 'Ops Piramid' tiba di tanah air hari ini menerusi dua penerbangan, iaitu Penerbangan Malaysia (MAS) dan Saudi Arabian Airlines.

Terdapat kira-kira 11,000 pelajar Malaysia mengikuti pengajian di beberapa universiti di Mesir.

Menerusi 'Ops Piramid' yang dijalankan bagi tempoh 3 hingga 11 Februari lepas, lebih 8,000 pelajar dan rakyat Malaysia di negara itu berjaya dikeluarkan dan dibawa pulang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain