suria

Pelajar Mesir Harap Dapat Teruskan Pengajian

SEPANG: Beberapa pelajar yang menuntut di Mesir dan hari ini pulang ke tanah air, berharap dengan peletakan jawatan Presiden Mesir, Hosni Mubarak akan meredakan pergolakan negara itu sekaligus membolehkan mereka kembali semula ke negara itu meneruskan pengajiannya.

Seorang pelajar tahun dua dari Maktab Qiraat Shoubra, Mesir, Afham Majdi Taib Azamudden, 23, berkata beliau berasa agak terkilan kerana terpaksa menangguhkan pengajian disebabkan pergolakan yang berlaku di negara itu.

"Saya agak terkilan namun bersyukur kerana selamat pulang ke tanah air, meskipun begitu saya berharap keadaan di Mesir akan kembali reda dan aman seperti sediakala dengan peletakkan jawatan Hosni.

"Jika negara tersebut kembali aman, saya harap kami semua dapat kembali ke sana dengan segera dan meneruskan pengajian," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Afifah Abd Khalil, 24, penuntut tahun akhir dalam bidang pengajian Islam di Universiti Mansoura, berharap dapat menghabiskan pengajiannya seperti yang ditetapkan dalam jadual pengajian.

"Saya dan rakan lain berharap supaya pergolakan di sana (Mesir) pulih dengan segera supaya pengajian kami yang dijangka tamat Mei ini berjalan lancar," katanya.

Bapa kepada seorang pelajar, Johar Ariffin, 50, pula berkata meskipun risau dengan keadaan di negara bergolak itu, namun beliau tetap akan membenarkan anak perempuannya menamatkan pengajian sekiranya pergolakan itu reda.

"Sebagai seorang ayah, walaupun bimbang namun saya tetap yakin dengan kerajaan Malaysia yang sentiasa memantau serta mengambil berat keselamatan rakyat negara ini di luar negara," katanya.

Kumpulan terakhir pelajar yang pulang ke tanah air seramai 439 pelajar selamat tiba di tanah air dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) pada pukul 8.46 pagi ini serta seramai 156 lagi tiba tengah hari tadi dengan menaiki penerbangan Saudi Airlines.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan rakyat dan pelajar Malaysia yang dibawa pulang ke tanah air melalui Ops Piramid yang bermula 3 hingga 11 Feb lepas serta dari 12 Feb hingga ke hari ini di bawah pemantauan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Jabatan Perdana Menteri adalah seramai 8,341 orang.

Pada Jumaat lepas, Naib Presiden Mesir, Omar Suleiman mengumumkan peletakan jawatan Hosni Mubarak sekaligus menamatkan zaman pemerintahan Hosni selama hampir 30 tahun. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain