suria

Lelaki Ditahan Kali Kedua Seludup Minyak Masak

PADANG BESAR: Gara-gara ingin mendapat keuntungan mudah, seorang lelaki tempatan ditahan untuk kali kedua oleh Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) dipercayai melakukan kegiatan menyeludup minyak masak bersubsidi ke negara jiran.

Komander UPP Perlis DSP Zakaria Abdul Rahman berkata lelaki berusia 36 tahun itu yang pernah ditahan kerana kegiatan yang sama Januari lalu, hari ini ditahan kerana cuba menyeludup 1,156 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi di Kaki Bukit dekat sini.

Pada Januari lepas, lelaki itu bersama kakaknya ditahan kerana cuba menyeludup 1,341 kg minyak masak pelbagai jenama bernilai RM3,360 yang disorokkan di dalam kenderaan jenis Kia Sportage dan Mazda 626.

Zakaria berkata hasil maklumat orang awam, pihaknya mengesan sebuah kenderaan jenis Kia Citra yang dipercayai menjalankan kegiatan penyeludupan minyak masak bersubsidi ke negara jiran di hadapan klinik kesihatan Kaki Bukit pada 9 pagi.

Bercakap dalam sidang media di sini, beliau berkata lelaki itu cuba melarikan diri dengan meninggalkan kenderaannya apabila dihampiri pasukan UPP tetapi dia dapat ditahan.

Zakaria berkata hasil pemeriksaan, pihaknya menjumpai 68 bungkus minyak masak bernilai RM2,890 di bahagian belakang tempat duduk penumpang.

Kenderaan dan minyak masak itu diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk tindakan lanjut.

Katanya suspek dipercayai mendapat bekalan minyak masak itu dari sebuah pasar raya besar di Alor Setar, Kedah dan menyewa kenderaan itu RM70 sehari untuk melakukan aktiviti penyeludupan.

Harga minyak masak yang lebih tinggi di negara jiran iaitu antara RM4 dan RM6 sekilogram berbanding RM2.50 sekilogram di negara ini mendorong kegiatan penyeludupan itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain