Lelaki Berpakaian Gaun Wanita Ditemui Mati - Semasa | mStar

Lelaki Berpakaian Gaun Wanita Ditemui Mati

GEORGE TOWN: Seorang lelaki yang berpakaian gaun wanita ditemui mati, dipercayai dibunuh di Lorong Love di sini Isnin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata lelaki yang berusia dalam lingkungan 40-an yang dipercayai dihentak dengan tukul besi pada bahagian kepala itu mati di tempat kejadian.

"Menurut beberapa saksi, mangsa yang berjalan seorang diri di kawasan sebuah tokong tiba-tiba dihampiri seorang lelaki yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dan memukulnya dengan tukul besi," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Lelaki yang masih belum dipastikan identitinya itu dipercayai pondan dan menjalankan aktiviti pelacuran di kawasan berkenaan.

Beliau berkata polis menemui tukul besi berhampiran tempat kejadian yang dipercayai digunakan sebagai senjata untuk membunuhnya.

Sementara itu, polis mencari sepasang suami isteri rakyat Myanmar bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki rakyat negara itu di Lebuh Victoria di sini Jumaat lepas.

Gan berkata pasangan suami isteri yang tidak memiliki dokumen perjalanan diri itu dikenali sebagai Nar Phet (suami) berusia dalam lingkungan 30-an manakala isterinya dikenali sebagai As, 20-an.

"Polis telah mengedarkan gambar pasangan berkenaan di seluruh negeri ini bagi menjejaki mereka untuk membantu siasatan pembunuhan rakan mereka," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Jumaat lepas, polis menemui mayat Kachut, 30-an, dengan kesan empat tikaman di dada dan kesan hentakan objek keras di kepala di asrama tempat kerjanya di sebuah rumah kedai di Lebuh Victoria di sini.

Gan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pasangan berkenaan menghubungi pegawai penyiasat kes itu, ASP A.Sidambaram menerusi talian 019-4137974 atau balai polis berhampiran.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak empat daripada 39 kes kebakaran yang dilapor di negeri ini sejak Januari lepas diklasifikasi sebagai perbuatan khianat.

"Empat kes itu ialah di Jelutong, Pasar Anson, Komtar dan Lebuh Melaka. Polis telah mengesan seorang lelaki dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV)," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

KPT Akan Hantar Pegawai Ke Mesir

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan