suria

Konvensyen BN Sarawak Akan Tumpu Cara Terbaik Perbaiki Perkhidmatan

KUCHING: Konvensyen Barisan Nasional (BN) Sarawak yang dijadual diadakan di sini pada 5 Mac, akan membincangkan cara-cara terbaik kerajaan boleh memperbaiki lagi khidmatnya kepada rakyat, kata setiausaha agung BN Sarawak Dr Stephen Rundi.

Beliau yang juga Menteri Muda Kemudahan Awam negeri berkata kira-kira 5,000 perwakilan daripada semua parti komponen BN dan pelaksana dasar akan menghadiri konvensyen sehari itu yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.

"Konvensyen itu akan memberikan peluang kepada perwakilan untuk membincangkan isu penting khasnya mengenai Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan cara untuk menterjemahkannya bagi memperbaiki perkhidmatan kepada rakyat," katanya kepada Bernama di sini.

Walaupun negeri lain sedang bersiap sedia mengadakan konvensyen BN mereka pada peringkat negeri tidak lama lagi, katanya Konvensyen BN Sarawak diadakan tepat pada masanya memandangkan pilihan raya negeri akan berlangsung dalam masa terdekat kerana tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) akan tamat pada Julai ini.

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang juga presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan menyampaikan ucaptamanya, yang dijangka sangat penting memandangkan pilihan raya negeri akan diadakan tidak lama lagi, kata beliau.

Pemimpin parti campuran BN negeri lain, Dr Rundi berkata termasuk presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Sri Dr George Chan, presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Seri Dr James Masing dan presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) Datuk Seri William Mawan akan berucap.

Pada Sabtu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata Perdana Menteri dan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak akan menemui pemimpin negeri selepas konvensyen itu.

Berikutan dengan mesyuarat Majlis Tertinggi BN di Kuala Lumpur, Liew berkata Najib menyerahkan tarikh pilihan raya negeri kepada Taib, yang juga pengerusi B Nnegeri untuk membuat keputusan.

Sementara itu Najib dilaporkan berkata Taib ada inspirasi bila pilihan raya negeri akan diadakan.

BN kini mempunyai 63 kerusi - PBB (35), SUPP (12), PRS dan SPDP masing-masing lapan sementara DAP memegang enam kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Cinta Malaysia (PCM), masing-masing seorang menerusi anggota Bebas. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain