suria

Kerajaan Dicadang Bantu Pelajar Pulang Ke Mesir Dengan Segera

KOTA BAHARU: Kerajaan dicadang menghantar semula pelajar yang pulang dari Mesir akibat pergolakan politik di negara itu seberapa segera bagi mengelak pembelajaran mereka terganggu.

Bekas Presiden Persatuan Pelajar Malaysia di Mesir, Zulkifli Yacob berkata bantuan itu membolehkan pelajar terbabit meneruskan pengajian mereka di universiti asal tanpa perlu menduduki peperiksaan di negara ini.

"Kita telah dimaklumkan oleh pelajar yang tidak pulang, semua universiti dan sekolah-sekolah akan dibuka pada 19 Feb ini dan berharap kerajaan menghantar segera pelajar terbabit," katanya kepada Bernama ketika mengulas penghantaran pulang pelajar Malaysia ke Mesir di sini, Isnin.

Beliau juga meminta kerajaan negeri menanggung kos penghantaran semula pelajar terlibat yang sebahagian besar daripada mereka adalah daripada kalangan keluarga berpendapatan rendah.

"Mungkin bagi pelajar perubatan daripada kalangan orang kaya tetapi sebahagian besar pelajar pengajian Islam khususnya anak Kelantan daripada kalangan orang miskin," katanya.

Beliau juga mencadangkan kerajaan pusat menyediakan dana bagi membantu pelajar terbabit pada kadar yang berpatutan bagi membolehkan mereka kembali ke universiti masing-masing dalam masa terdekat.

Tanpa prejudis kepada mana-mana pihak, beliau berkata kerajaan perlu adil dalam membantu pelajar terbabit yang akan menyumbang tenaga kepada pembangunan negara. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain