suria

Belia Perlu Ada Kemahiran Berpotensi Untuk Harungi Cabaran - Rosmah

BANGI: Golongan belia di negara ini perlu ada kemahiran yang berpotensi bagi membolehkan mereka terus memiliki daya 'survival' dalam arus pembangunan yang semakin mencabar, kata Datin Seri Rosmah Mansor.

Justeru, isteri Perdana Menteri itu berkata mereka harus mengikis sikap membuat kerja sambil lewa, acuh tidak acuh dan tidak bersungguh-sungguh.

"Sememangnya jika sesuatu hal itu dilaksanakan dengan tekun, penuh dedikasi dan meletakkan komitmen tinggi, maka seseorang belia itu akan menjadi semakin mahir dalam kerja.

"Hasilnya yang akan diperolehi pastinya mempunyai nilai dan kualiti yang tinggi serta dipandang mulia oleh masyarakat," katanya berucap merasmikan penutupan Kem Perkasa Remaja di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, Isnin.

Rosmah berkata sejarah juga menunjukkan belia bukan saja bermanfaat pada hari mendatang tetapi juga berpotensi memainkan peranan bermakna ketika di usia muda. Turut hadir pada majlis itu Naib Canselor UKM Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Pengerusi Felda Datuk Dzulkifli Abdul Wahab.

Kem Perkasa Remaja siri kedua yang menumpu kepada belia felda, menyaksikan 29 remaja felda dari beberapa wilayah seperti Johor, Kedah dan Kelantan berjaya menamatkan program selama dua bulan itu.

Program berkonsepkan kem yang menggunakan pendekatan psikologi bertujuan memberi peluang kepada remaja yang terlibat dalam aktiviti bermotorsikal untuk berubah dan membina potensi diri.

Siri kedua bermula Oktober lepas, setelah kem intervensi siri pertama 2010 melibatkan 32 remaja di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor tamat Jun lepas.

Mengulas mengenai kem itu, Rosmah berkata Kem Perkasa Remaja Felda, khas untuk anak-anak peneroka di seluruh negara bertujuan menjadikan remaja felda sebagai contoh terbaik bagi penduduk luar bandar. "Apa yang kita mahukan adalah belia yang sentiasa berdaya saing, kreatif serta inovatif dalam apa jua perkara.

"Sehubungan itu, saya mempunyai keyakinan penuh bahawa melalui Kem Perkasa Remaja ini sekali gus akan membantu Felda untuk menangani masalah sosial dan melahirkan generasi baru felda yang produktif," katanya.

Katanya hasil kajian penyelidikan Pusat Pemerkasaan Remaja UKM yang menunjukkan peserta kem tidak menyertai sebarang aktiviti dalam tempoh enam bulan merupakan penemuan yang amat membimbangkan.

Ini kerana ketiadaan sebarang pengisian atau aktiviti positif oleh para belia akan memberi kecenderungan kepada perlakuan antisosial, terjebak dalam aktiviti lumba haram dan budaya lepak yang semakin menjadi-jadi, katanya.

Rosmah turut mengingatkan golongan belia bahawa Malaysia memerlukan generasi baru yang sanggup berjuang, berkorban dan berani menembuh cabaran yang mendatang.

"Hanya keberanian dan semangat waja akan dapat menangkis segala cabaran yang mendatang," katanya yang turut memetik kata-kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu 'jika tidak berubah, kita akan rebah'," katanya.

Rosmah turut menyeru anak-anak muda supaya menggunakan kesempatan usia mereka untuk menimba ilmu dan kepakaran kerana generasi muda mempunyai kuasa untuk mencipta, serta mentransformasikan negara ke tahap yang paling tinggi.

Beliau juga berharap badan-badan bukan kerajaan dan sektor swasta menggembeleng tenaga terbabit secara proaktif dengan Perkasa Remaja dalam usaha mewujudkan persekitaran hidup yang bebas daripada gejala moral dan sosial yang kurang sihat. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain