suria

Muhyiddin Dan Isteri Ucap Takziah Kepada Keluarga ADUN Kerdau

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman hari ini mengucapkan takziah kepada keluarga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kerdau, Pahang, Datuk Zaharuddin Abu Kassim yang meninggal dunia petang semalam akibat serangan jantung.

"Allahyarham adalah seorang pemimpin yang telah banyak berjasa kepada negeri Pahang khususnya di DUN Kerdau. Saya yakin pemergian beliau bukan sahaja dialami oleh kaum keluarga beliau malah juga turut dirasai oleh para penduduk," kata Muhyiddin dalam satu kenyataan, Ahad.

Muhyiddin dan isteri berharap anggota keluarga Allahyarham akan bersabar menghadapi kehilangan insan tersayang.

"Doa kami semoga Allah S.W.T. mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan semoga beliau ditempatkan dalam kalangan para solihin," katanya.

Zaharuddin, 63, meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah pada 7.15 petang setelah dibawa ke hospital itu selepas terjatuh di bilik air rumahnya di Kerdau.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Taram, Kerdau hari ini selepas Zohor.

Pada pilihan raya umum 2008, Zaharuddin menewaskan calon PAS Hassanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi.

Beliau memperoleh 4,135 undi manakala Hassanuddin pula meraih 2,520 undi. - BERNAMA

Artikel Lain