suria

Lima Sekeluarga Ditahan Disyaki Edar Dadah

JITRA: Lima sekeluarga, yang disyaki terlibat dalam kegiatan penegdaran dadah ditahan dalam serbuan polis di Kampung Naga, dekat sini Jumaat lepas.

Pasangan suami isteri bersama sepasang anak mereka dan seorang anak saudara lelaki ditahan dalam serbuan pada pukul 10.30 pagi oleh polis bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Daerah Kubang Pasu.

Polis merampas sebungkus besar dadah jenis heroin seberat 460 gram dan lima bungkus kecil dadah jenis yang sama dengan berat 54.6 gram yang dianggar bernilai RM30,000, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu DSP Ibrahim Mohamad Yusof.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, beliau berkata kesemua mereka yang ditahan berumur antara 16 dan 54 tahun dan disyaki menjalankan kegiatan mengedar dadah di sekitar Kubang Pasu dan Kota Setar.

"Hasil siasatan awal mendapati suspek mendapat bekalan dadah itu dari Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata turut dirampas dalam serbuan itu ialah dua telefon bimbit, satu mesin pengedap plastik dan dua bungkus plastik kecil.

Ibrahim berkata lelaki yang merupakan ketua keluarga terbabit baru dibebaskan dari Penjara Pokok Sena Ogos tahun lepas atas kesalahan yang sama dan mempunyai tujuh rekod jenayah lampau, semuanya membabitkan kesalahan dadah.

"Anak saudaranya juga mempunyai enam rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan dadah," katanya.

Beliau berkata kesemua mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- BERNAMA

Artikel Lain