suria

Lelaki Bangladesh Dipercayai Diculik Ditemui Mati

NIBONG TEBAL: Polis menemui mayat seorang lelaki dipercayai rakyat Bangladesh yang sebelum ini dilaporkan diculik, di rumah pangsa Taman Sungai Bakap di sini, Ahad.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang ACP Mohd Nasir Salleh berkata berdasarkan keadaan mayat yang berulat, polis percaya lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu mati sejak beberapa hari lepas.

"Adik mangsa mengesahkan beberapa barangan yang ditemui bersama mayat itu antaranya sebentuk cincin, jaket dan sebuah motosikal adalah milik abangnya yang dilapor diculik pada 8 Februari lepas.

"Menurut adiknya, mangsa menyewa di Bukit Tambun dan bekerja di sebuah kilang di Jalan Valdor di sini sejak setahun lepas," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini, Ahad.

Beliau berkata bagaimanapun siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti sebenar mayat berkenaan kerana tiada pengenalan diri ditemui bersamanya.

"Pasukan Forensik akan menjalankan siasatan lanjut serta melakukan ujian DNA untuk mengesahkan mayat yang ditemui adalah mangsa yang sebelum ini dilaporkan diculik," katanya.

Mohd Nasir berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Bakap di sini untuk bedah siasat dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.- BERNAMA

Artikel Lain