suria

Kereta Terhumban Dalam Longkang, Pelatih Jururawat Maut

GUA MUSANG: Seorang pelatih Jururawat Kolej Islam dan Sains Teklonogi (KIST) Bachok maut apabila kereta Perodua Kancil yang dipandunya terbabas sebelum terhumban ke dalam longkang di Kilometer 68 Jalan Gua Musang - Kuala Krai, dekat sini, malam tadi.

Rosnita Yusoff, 22, berasal dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh Tiga, Gua Musang mati di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Saiful Bahri Abdullah berkata dalam kejadian pada pukul 8 malam itu, Rosnita dalam perjalanan dari rumahnya di RKT Kesedar itu untuk pulang ke KIST.

"Mangsa yang tercampak keluar dari kenderaan yang berpusing itu ditemui di atas semak berhampiran," katanya.

Beliau berkata mayat Rosnita dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat sebelum diserah kepada keluarganya awal pagi ini untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam RKT Kesedar Paloh Tiga.- BERNAMA

Artikel Lain