suria

Pusat Penjagaan Dan Taman Asuhan Kanak-kanak Perlu Dilengkapi Pengetahuan CPR - Rosmah

KUALA LUMPUR: Pengasuh di pusat penjagaan dan Taman Asuhan Kanak-Kanak perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan bantuan kecemasan seperti "Cardiopulmonary Resuscitation" (CPR), kata Datin Seri Rosmah Mansor.

Isteri Perdana Menteri berkata pengetahuan ini penting memandang terdapat beberapa kes di mana bayi maut kerana lewat mendapat bantuan kecemasan apabila tercekik.

"Perkara ini serius dan sudah tiba masanya untuk mendidik pengasuh dan guru dalam bantuan kecemasan supaya perkara seperti ini tidak berlaku lagi," katanya dalam bual bicara di program "Apa Kata Wanita Bersama Zamzarina" yang disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini, Sabtu.

Rosmah turut melancarkan program itu yang kini memasuki musim ke-tiga.

Turut hadir isteri Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datin Seri Masnah Rais dan Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Ibrahim Yahaya.

Tahun lepas terdapat beberapa kejadian di mana beberapa bayi meninggal dunia disebabkan kecuaian pusat penjagaan kanak-kanak termasuk satu kes di Putrajaya yang melibatkan bayi perempuan berusia tiga bulan meninggal dunia selepas tercekik susu.

Rosmah turut menyarankan ibu bapa supaya memberi penekanan dalam pendidikan awal kepada kanak-kanak sejak mereka berusia empat tahun atau lebih awal lagi bagi melahirkan generasi berketerampilan serta berdaya maju. - BERNAMA

Artikel Lain