suria

Pua Dakwa Hanya Ingin Tahu Kewajaran Pembelian Kapal Peronda

KUALA LUMPUR: Setiausaha publisiti kebangsaan DAP Tony Pua tidak akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembelian enam kapal peronda luar pesisir (OPV) oleh Kementerian Pertahanan.

Kata Pua ini kerana tulisan beliau dalam blognya baru-baru ini hanya bertujuan meminta menteri berkenaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kewajaran pembelian kapal berkenaan yang melibatkan kos sebanyak RM6 bilion itu.

"Kenyataan saya itu bukan suatu tuduhan terhadap kementerian berkenaan berhubung pembelian itu, tetapi sekadar memintanya menjelaskan kewajaran tentang pembelian itu dengan memberi spesifikasi terperinci mengenai jenis OPV yang akan dibeli," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Oleh demikian, kata Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara itu, saranan SPRM agar beliau memfailkan laporan mengenainya adalah tidak relevan ketika ini.

Semalam, Bernama memetik sumber SPRM sebagai berkata Pua perlu membuat laporan untuk membolehkannya memulakan penyiasatan tentang pembelian kapal berkenaan.

Baru-baru ini, Ahmad Zahid mengumumkan bahawa Kementerian Pertahanan telah menempah enam kapal peronda luar pesisir pada harga RM6 bilion daripada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd. - BERNAMA

Artikel Lain