suria

Polis Miri Rampas Jumlah Dadah Terbesar

MIRI: Jabatan Narkotik Polis Miri mencatat kejayaan terbesar setakat ini untuk tahun ini apabila merampas lebih 1,800 pil yang disyaki Ecstasy seberat lebih satu kilogram bernilai lebih RM150,000 di pasaran gelap, baru-baru ini.

Ketua Polis daerah Miri Asisten Komisioner Jamaludin Ibrahim berkata pada Sabtu, rampasan itu dibuat berikutan penangkapan seorang lelaki berusia 35 tahun yang disyaki pengedar dadah Khamis lepas. Katanya, dalam kes itu, suspek yang dalam perjalanan dengan kereta, dipintas pada kira-kira pukul 9.30 pagi oleh pasukan anti narkotik berhampiran Lutong, kira-kira 12 km ke utara dari sini dan pemeriksaan mendapati dia memiliki satu bungkusan plastik berisi pil berwarna merah jambu.

Selepas itu, suspek membawa polis ke sebuah rumah di Jalan Bakam di mana polis menemui 32 bungkusan lagi yang disyaki mengandungi pil Ecstasy dan tiga bungkusan mengandungi serbuk berwarna coklat, dipercayai dadah mentah untuk menghasilkan pil serupa.

Polis percaya dadah itu adalah untuk edaran di pasaran gelap dan bernilai lebih RM150,000. Walaupun suspek mendakwa dia bertindak bersendirian, tetapi polis masih menyiasat sama ada dia mengangotai satu sindiket pengedaran dadah di sini, kata Jamaludin.

Beliau berkata polis telah memperoleh perintah mahkamah untuk menahan reman lelaki itu selama 14 hari bagi memudahkan penyiasatan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jamaludin berkata polis Miri juga mencatat kejayaan dalam usaha mengurangkan kemalangan jalan raya apabila tiada kemalangan maut dilaporkan sepanjang tempoh "Ops Sikap" diadakan sempena sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini.

Katanya indeks kemalangan jalan raya dan jenayah jalanan di Miri sepanjang tempoh sambutan perayaan itu masing-masing menurun 17 peratus dan 52 peratus. - BERNAMA

Artikel Lain