suria

Perbelanjaan Pembangunan Di Pulau Pinang Capai Peratus Penggunaan Tertinggi

KEPALA BATAS: Perbelanjaan bagi projek pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan di Pulau Pinang mencapai peratusan tertinggi dari aspek penggunaan peruntukan berbanding negeri lain, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau berkata sebanyak 91.84 peratus daripada RM7.176 bilion yang telah diperuntukan untuk projek pembangunan di Pulau Pinang dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) telah digunakan sepenuhnya.

"Peratusan ini adalah yang tertinggi dan ini menunjukkan kemajuan dan keberkesanan pelaksanaan projek-projek oleh kerajaan persekutuan di negeri ini. Pembangunan yang menyeluruh ini memperlihatkan komitmen kerajaan dalam keadilan sosial dan usaha untuk mencapai kadar pertumbuhan sebanyak enam peratus," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang bagi tahun 2011 di sini, Sabtu.

Katanya antara projek-projek pembangunan RMK-9 yang dilaksanakan di Pulau Pinang ialah Pelebaran Jambatan Pulau Pinang, projek menaik taraf keretapi Bukit Bendera dan pembinaan Sekolah Maahad Al-Mansor di Balik Pulau. Nor Mohamed juga meminta pemimpin persekutuan di Pulau Pinang agar membuat pemantauan semua projek kerajaan persekutuan yang dilaksanakan di negeri ini supaya siap mengikut jadual dan peruntukan yang disediakan.

"Kita juga perlu pastikan semua projek yang dilakukan dapat memenuhi keperluan keadilan sosial, oleh sebab itu kerajaan pusat tidak pernah menjadikan aliran politik sesebuah negeri sebagai kayu ukur untuk melaksanakan projek pembangunan.

"Kerajaan tidak pernah fikir isu remeh-temeh yang boleh merencat pembangunan dalam usaha memajukan negara dan kepentingan untuk rakyat, lihat kepada keperluan nasional bukan soal politik, kita fikir lebih sedikit dari pembangkang," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain