Penjenayah Guna Letupan Loloskan Diri Lepas Samun Bank - Semasa | mStar

Penjenayah Guna Letupan Loloskan Diri Lepas Samun Bank

PETALING JAYA: Seorang penjenayah yang panik dikejar pengawal keselamatan selepas menyamun sebuah bank di Jalan Utama, Sungai Buloh dekat sini, bertindak membaling sejenis alat yang dipercayai bahan letupan, bagi membantunya meloloskan diri.

Dalam kejadian 4 petang itu, lelaki berusia lingkungan 30-an tersebut menyamar sebagai pelanggan sebelum bertindak melompat masuk ke dalam kaunter bank berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohammed berkata suspek kemudian mengacukan pistol ke kepala seorang kakitangan bank dan mengarahkannya menyerahkan wang.

Beliau berkata suspek yang berpakaian serba hitam serta berkaca mata gelap, melarikan wang tunai sebanyak RM30,000 sebelum dikejar pengawal keselamatan bank itu.

"Dalam jarak 100 meter, suspek bertindak membaling satu alat dipercayai bahan letupan berhampiran restoran mamak," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Arjunaidi berkata pengawal keselamatan yang terkejut dengan tindakan itu, berhenti mengejar suspek sebelum menghubungi polis.

Beliau berkata pasukan dari Unit Pemusnah Bom dihantar ke tempat kejadian bagi mengenal pasti bahan letupan berkenaan.

"Namun, bahan letupan yang dibaling dekat restoran itu masih belum dikenal pasti," katanya.

Suspek juga dipercayai menggunakan pistol mainan berdasarkan skru plastik dipercayai milik suspek, ditemui di lantai bank itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Pengerusi Viva Palestina Meninggal Dunia

Artikel Berkaitan

Artikel Lain